BUKTI...Zainuddin menunjukan peralatan elektronik yang digunakan suspek.
KUALA LUMPUR: Menggunakan sejenis peralatan elektronik buatan Taiwan,
seorang lelaki mampu mematikan sistem penggera kereta dengan mudah
sebelum menyamun barang berharga dalam kenderaan terbabit.
Alat berkenaan dikatakan mampu memintas frekuensi sistem penggera
kenderaan dan suspek dengan mudah masuk ke dalam kenderaan berkenaan
selepas sistem penggera dimatikan, membolehkan pintu kereta dibuka tanpa
bunyi.
Perkara itu terbongkar selepas polis menahan seorang lelaki berusia 36 tahun yang terbabit dengan jenayah samun kenderaan dalam serbuan di sebuah kondominium di Petaling Jaya, 13 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad
berkata, pemeriksaan di rumah berkenaan menemui empat komputer riba,
satu cakera keras mudah alih dan pelbagai dokumen atas nama individu
lain dipercayai yang dicuri suspek.
“Modus operandi suspek ialah menunggu dalam kereta di parkir pusat beli-belah dan menggunakan alat berkenaan untuk memintas frekuensi penggera kereta mangsa.
“Sebaik berjaya membuka kereta mangsa, suspek mengambil barang berharga dalam kereta berkenaan sebelum melarikan diri,” katanya.
Beliau berkata, mangsa hanya menyedari kenderaan mereka disamun
apabila mendapati pintu kereta mereka terbuka atau kenderaan berkenaan
tidak berkunci selain keadaan di dalamnya berselerak.
Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek yang dibebaskan dari penjara awal tahun lalu, mempunyai sembilan rekod jenayah lampau.
“Siasatan mendapati suspek sudah beberapa kali melakukan jenayah
ini dan tidak menolak kemungkinan ada individu lain yang melakukan samun
menggunakan taktik sama,” katanya
No comments:
Post a Comment