kerengga
Lim Hong Siang
Saya
masih ingat betapa terpegunnya diri saya apabila melihat ibu bapa Melayu
membawa anak mereka ke jalan raya untuk berdepan dengan FRU. Padahal
saya mengenali aktivis Gerakan Mansuhkan ISA, Nashita Md Noor dalam satu
demonstrasi di KLCC pada tahun 2006, ketika anak perempuannya menangis
dalam pelukannya setelah menyaksikan keganasan polis yang melampau. Saya
mengandaikan ia sebagai "amali demokrasi" untuk anaknya, sebelum
didedahkan kepada teori.
Namun
pengamatan saya mendapati ramai yang tidak merestui perbuatan ini,
khususnya Cina. Selain tuduhan kerajaan bahawa demonstran memperalatkan
anak mereka sebagai benteng, ada juga pandangan bahawa ibu bapa amat
tidak bertanggungjawab kerana mendedahkan anak mereka kepada risiko.
Sesetengah orang yang berpandangan sedemikian tidak berani untuk
mengutuk salahlaku polis, sebaliknya mempersalahkan mangsa keganasan
polis. Logik sedemikian lagi terpegun buat saya - masyarakat ini tidak
lagi mengutuk peragut, sebaliknya mempersalahkan mangsa kerana memakai
beg tangan bertali - kononnya memberi kesempatan kepada penjenayah.
Beberapa
tahun kemudian Nashita diundang menjadi kolumnis MerdekaReview. Saya
mencadangkan agar beliau menulis mengapa dirinya sanggup membawa anak
yang kecil ke jalan raya, sungguhpun menyedari risikonya. Akhirnya saya
mendapat tajuk artikel berbunyi, "Anak dibawa turun ke jalan raya kerana
yakin peserta bukan perusuh!"
Ia bukan
sekadar yakin, tetapi pengalaman lalu membuktikan kematangan rakyat
Malaysia untuk menggunakan hak berhimpun secara berhemah. Segala-galanya
berjalan dengan teratur, dengan tidak meninggalkan sampah pada tempat
berhimpun. Kalaupun gas pemedih mata dibedil, sampah seperti botol air,
selipar dan sebagainya yang bertaburan, akan dikutip oleh peserta yang
tidak ditahan polis selepas itu.
Secara
jujur saya amat terkejut dengan penampilan ibu bapa bersama anak-anak
mereka dalam Green Walk yang diketuai Wong Tack, baru-baru ini. Malah
ada ibu yang mendukung bayinya untuk berjalan beberapa kilometer,
menemani Wong Tack sebagai tanda sokongan dalam perjuangannya membantah
pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan.
Gerakan ini sampai kemuncaknya apabila lebih 10 ribu orang tampil secara
sukarela, tanpa dikerah secara berorganisasi pada 25 November,
menyambut ketibaan Wong Tack bersama rakan-rakannya di Kuala Lumpur.
Saya
berada di Sogo, tempat yang disarat dengan nostalgia lautan manusia pada
zaman Reformasi. Saya perhatikan ramai ibu bapa Cina membawa
kanak-kanak ke situ, dan menyertai perarakan untuk mengiringi rombongan
Wong Tack ke Dataran Merdeka. Bilangan manusia melimpah di luar dugaan,
membuatkan suasananya seakan-akan perhimpunan BERSIH 3.0. Dengan nakal
saya tanya beberapa orang ibu saya kenali, "Bawa garam tak?" Mereka
terus mengangguk.
Maknanya
mereka tidak yakin bahawa polis akan mengendalikan perhimpunan ini
secara aman. Tetapi mereka membawa juga anak-anak, di samping garam dan
air. Saya cukup terharu, untuk sekian lama masyarakat Cina diselubungi
ketakutan untuk turun ke jalan raya, setelah menyaksikan demonstrasi
1998 di Indonesia yang memangsakan kaum Cina akhirnya. Kini, bukan
sahaja mereka turun sendiri ke jalan raya, malah membawa anak-anak
bersama.
Saya
cuba mendapat jawapan dari Facebook, melalui pandangan yang dikongsi dan
disebar di kalangan masyarakat Cina. Media tradisional Cina seperti
akhbar dan televisyen meskipun memberi liputan kepada Green Walk ini
(jika dibandingkan media bahasa Malaysia), tetapi "mengecut" juga pada
beberapa hari terakhir. Oleh itu, maklumat mengenai Green Walk
sebenarnya disebar melalui Facebook, dan gelombang kekuatan ini
mengombak apabila rakan dalam laman sosial ini saling mempengaruhi.
Mesejnya
jelas, bahawa pembinaan kilang Lynas bakal menghancurkan masa depan
anak-anak. Makna tersiratnya, ibu bapa Cina ini tidak bersedia untuk
berhijrah ke luar negeri - ini adalah tanah air untuk dirinya, dan untuk
anaknya, dari dulu, kini dan selama-lamanya. Cuba bayangkan, jikalau
ibu bapa Cina tidak mencintai bumi yang dipijak ini, untuk apa mereka
berjalan kaki berpuluh-puluh kilometer jauhnya sambil dijemur bahang
matahari, dan mungkin disembur meriam air berkimia ketika sampai ke
destinasinya? Untuk apa mereka mengambil risiko bahawa anaknya mungkin
tercedera seandainya perarakan ke Dataran Merdeka itu disuraikan dengan
kekerasan oleh FRU?
Saya
kira pendirian masyarakat Cina amat jelas. Anda tidak akan melakukan
sesuatu yang menyulitkan diri anda jika anda tidak ambil kisah. Anda
hanya diuji dan teruji untuk melakukan kebaikan seandainya anda tetap
melakukannya biarpun menyedari tindakan itu mungkin membawa risiko.
Seseorang itu belum layak lagi disifatkan "baik", seandainya seseorang
itu mengelak dari melakukan kebaikan kerana takut dengan risiko yang
menyusul.
Cuma,
saya terpegun juga untuk berdepan dengan propaganda Umno. Apabila
demonstrasi dihadiri Melayu secara majoriti, maka Melayu dituduh sebagai
bacul kerana Cina berpeluk tubuh dan menikmati hasil perjuangan tanpa
berlari lintang-pukang dikejar FRU. Kini apabila perhimpunan dihadiri
masyarakat Cina secara majoriti, maka dituduh pula Melayu dalam
kedudukan terancam kerana Cina sudah bangkit. Saya tidak terdaya untuk
berkata apa-apa...
*Lim Hong Siang ialah bekas editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia. E-mel: hongsiang27@gmail.com
No comments:
Post a Comment