December 17, 2012
KUALA LUMPUR, 17 Dis — Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil
(Bersih 2.0) merancang untuk mengundang lebih ramai “pemantau orang
ramai” pada pilihan raya akan datang.
Kumpulan tersebut menubuhkan “Jom Pantau” dan “Jom 100”, tetapi pengerusi bersamanya, Datuk Ambiga Sreenevasan (gambar) berkata hari ini kempen tersebut akan diperluas pada Januari ini untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa.
Aktivis dan peguam itu berkata pilihan raya tidak akan bersih
mengikut apa yang Bersih 2.0 mahukan dan cara terbaik ialah pihak
berkuasa sentiasa memeriksa peningkatan pengundi dan menggaji orang awam
untuk memantau sebarang masalah pada hari pilihan raya.
“Adakah kita dapat melihat perubahan sebenar sebelum pilihan raya?
Jawapannya, tidak,” katanya dalam sidang media bersama ahli jawatankuasa
Bersih 2.0 di sini.
“Apa yang kami boleh lakukan ialah kami akan pastikan pilihan raya akan menjadi bersih dan adil,” katanya lagi.
Ambiga menerangkan “Jom 100” adalah usaha Bersih 2.0 menggalakkan pemilih untuk keluar mengundi pada hari pilihan raya.
Beliau berkata Bersih 2.0 berharap sekurang-kurangnya 85-90 peratus dari 13 juta pengundi seluruh negara akan mengundi.
Pilihan raya yang dijangka bakal menjadi persaingan sengit antara
gabungan parti pemerintah Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang,
yang akan bertanding pertama kali sebagai Pakatan Rakyat (PR).
“Jumlah pengundi yang ramai dapat meminimakan atau mengawal penipuan dari berlaku secara berleluasa,” kata Ambiga.
Di bawah “Jom Pantau”, pemimpin masyarakat sivil itu berkata, beliau
berharap Bersih 2.0 dapat membawa “pemantaunya sendiri”, terutama di
kawasan parlimen tertentu bagi memantau sebarang perkara yang diragui
semasa hari mengundi.
“Mereka akan bekerja di bawah dan melaporkan kepada kami. Kami mahu
memastikan pilihan raya ini bersih dan adil, itu sahaja,” katanya lagi.
Ambiga berkata, rancangan Bersih 2.0 datang dari kekecewaan walaupun
banyak menggerakkan usaha selama beberapa tahun ini, namun kerajaan dan
usaha perubahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih tidak mencukupi.
Beliau kemudian mendakwa SPR “tidak ikhlas”, dengan mengatakan
baru-baru ini mereka menubuhkan jawatankuasa khas untuk membersihkan
daftar pemilih.
“Saya rasa kamu semua tahu membersihkan daftar pemilih adalah yang paling penting.
“Tetapi pengerusi SPR sendiri pada April mendakwa daftar pemilih di Malaysia adalah yang paling bersih di dunia.
“Tetapi setelah sekian lama, akhirnya SPR menyediakan unit khas untuk membersihkan daftar pengundi,” katanya.
Ambiga mengatakan usaha ini hanya sia-sia jika tidak ada wakil dari
parti politik atau badan masyarakat dijemput untuk pembersihan nama
daftar pemilih.
Ambiga mendakwa SPR gagal untuk memenuhi tuntutan Bersih 2.0, seperti
memberikan akses media yang adil dan bebas serta membenarkan pemantau
antarabangsa
“Kita tidak seharusnya mengundi calon yang menyokong politik ganas dan menyuruh kita untuk berhenti bersuara.
“Apa yang penting untuk kita perhatikan politik ganas adalah petanda
pilihan raya tercemar, penyakit yang lebih teruk, bakal kita lalui,”
katanya lagi.
Bersih 2.0, gabungan 82 buah badan bukan kerajaan, mengadakan
perarakan kedua untuk menuntut pilihan raya sejak 2007 pada 9 Julai
tahun lalu, mendapat perhatian antarabangsa apabila terdapat keganasan
dan huru hara di media luar.
Untuk mengelakkan pandangan negatif, pentadbiran Najib meluluskan Akta Perhimpunan Aman.
Tetapi perubahan itu tidak diterima Bersih 2.0 dan perhimpunan ketiga, Bersih 3.0 diadakan pada 28 April tahun ini.
Perhimpunan “duduk bantah” yang dirancang aman, bagaimanapun bertukar
menjadi ganas apabila puluhan ribu orang ramai bertempur dengan polis
selepas hadangan di hadapan Dataran Merdeka dipecahkan.
Polis sebelum itu membuat halangan kawat dawai dan plastik serta
hadangan dari besi di sekeliling kawasan tersebut untuk menghalang
peserta dari masuk ke Dataran Merdeka.
Beberapa laporan dibuat mendakwa polis terlibat dengan keganasan, dan
kerajaan dikritik kerana gagal menangani acara yang sepatutnya berjalan
secara aman tersebut. TMI
No comments:
Post a Comment