16 Disember 2012
BAYAN BARU - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng
berkata pihaknya bangga kerana Pakatan Rakyat (PR) tidak mengamalkan
kronisme dalam pendekatan politik mereka.
Menurutnya, selama beliau memegang jawatan Ketua Menteri, beliau tidak
pernah dikunjungi ahli PR bagi meminta projek untuk dilaksanakan.
"Kita jalankan tender terbuka, dan bukannya memilih sanak saudara pemimpin parti untuk menjalankan projek.
“Inilah kelebihan yang ada dalam PR, kita tidak mengamalkan kronisme,
apa yang kita utamakan adalah kepentingan rakyat. Saya harap tradisi ini
dapat diteruskan selamanya,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup
pada Kongres Kebangsaan DAP ke-16, hari ini.
Guan Eng berkata, beliau turut berharap agar ahli PR tidak mempunyai
agenda peribadi sebaliknya memegang prinsip parti yang memperjuangkan
hak rakyat tanpa mengira kaum.
“Kita berharap agar semua yang menyertai PR, bersama-sama memegang
prinsip dan menjalankan amanah yang diberikan rakyat, tiada agenda
peribadi. Ini kerana, budaya kronisme bukan tradisi kita.
“Saya juga berharap jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) yang baru
(dipilih) dapat menunaikan hasrat wakil-wakil kawasan serta bekerjasama
sebagai satu pasukan demi kepentingan rakyat. Saya berterima kasih
kepada semua ahli PR di Semenanjung, Sabah dan Sarawak kerana bersatu
untuk membela masa depan anak cucu kita," katanya.
No comments:
Post a Comment