Penderitaan pelakon veteran Datuk
Yahya Sulung, 84, yang sedang sakit bertambah parah apabila Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkannya dan isteri, Datin Alisah
Ali agar mengosongkan rumah mereka, di flat Bandar Baru Sentul dekat
sini.
Ia berikutan kegagalan pasangan itu untuk menjelaskan tunggakan sewa rumah sejak lapan bulan lalu yang berjumlah RM800.
Alisah,65, berkata, fikirannya
semakin buntu selepas menerima notis berkenaan kerana dia mempunyai
perbelanjaan yang terhad bagi menampung hidup.
“Benar kami telah menerima notis
untuk keluar daripada rumah tersebut kerana gagal menjelaskan sewa
selama lapan bulan kerana mengalami masalah kewangan,” ujarnya.
Alisah memberitahu dia kini menghidap kanser paru-paru.
Aisah berkata, sewa bulanan rumah
itu ialah RM100 dan sebelum ini dibayar daripada hasil wang bantuan
Baitulmal yang diterima sebanyak RM400 sebulan serta wang pencen
daripada bekas isteri Yahya yang terdahulu dalam jumlah yang sama.
Katanya, disebabkan kedua-dua
mereka mengalami keuzuran kebanyakan wang yang diperoleh itu digunakan
bagi tujuan mendapatkan rawatan hospital selain perbelanjaan harian
rumah.
Ujarnya, Kesusahan yang dialami
mereka itu semakin bertimpa apabila dia disahkan menghidap kanser
paru-paru selepas membuat pemeriksaan selepas Hari Raya Aidiladha lalu.
“Suami saya yang menghidap asma
terlalu uzur sementara saya pula sering mengalami kesakitan. Tetapi
syukurlah apabila salah seorang anak saudara saya yang tinggal di
Setapak membantu untuk menjaga Yahya dan hal seharian,” katanya yang
begitu sedih dengan ujian itu.
Alisah memberitahu, dia malu
untuk meminta sumbangan daripada orang ramai kerana selama ini telah
banyak pihak yang menghulurkan bantuan.
Sementara itu, Presiden Persatuan
Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi ketika dihubungi berkata,
pihaknya akan mengambil tindakan segera bagi membantu dan menyelesaikan
masalah pelakon veteran itu.
Ujar Zed, pihaknya akan
berbincang dengan DBKL mengenai tunggakan yang tidak dibayar oleh Yahya
selain menghulurkan bantuan lain sekiranya perlu.
“Selalunya masalah-masalah begini
kami tahu daripada pihak lain dan bukannya daripada ahli Seniman
sendiri. Seperti kes Yahya, jika kami tahu lebih awal sudah tentu
bantuan diberikan untuk meringankan masalah,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment