11 Disember 2012
GAZA CITY - Siapakah yang tidak terkejut apabila ketika sedang
melangkah masuk ke unit rawatan rapi As-Shiffa, antara hospital yang
kini paling menjadi perhatian dunia kerana menempatkan penduduk Gaza
yang cedera dan meninggal dunia akibat serangan Israel, tiba-tiba
seorang doktor Palestin menyapa anda, "Apa khabar?" dan terus berbual
dalam loghat Kelantan.
Inilah yang dialami seorang wartawan Malaysia ketika terserempak dengan
Dr Ahmad Al-Mughrabi, pakar bedah plastik berusia 35 tahun yang
bertugas di hospital itu.
Dr Ahmad, yang ternyata begitu disenangi oleh pesakit di As-Shiffa,
sebenarnya pernah bertugas secara sangkut selama empat bulan di Hospital
Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian, Kelantan dan menyambut
Ramadan di
Malaysia.
Malaysia.
Doktor ini berkata semasa berada di Malaysia, beliau memberi ceramah di
merata tempat tentang perkembangan di Gaza sambil mengumpul derma untuk
dihantar pulang ke tanah airnya untuk membantu mereka yang memerlukan.
"Saya suka segala-galanya tentang Malaysia, rakyatnya, makanan dan
persekitarannya. Rakyatnya memang tidak lokek untuk memberi kerjasama.
"Saya juga rindukan makanan berempah, terutama yang dihidangkan di
restoran India dan mamak. Makanan paling saya rindu ialah nasi biryani,"
katanya.
Dr Ahmad berkata doktor Malaysia dialu-alukan datang bertugas secara
sangkut di sini memandangkan hospital di Gaza kekurangan doktor dan
ubat-ubatan.
"Kami mengalu-alukan kedatangan sesiapa saja yang ingin membantu. Ini
adalah tanah air anda juga," kata doktor yang sentiasa berperwatakan
ceria ini.
Beliau berkata ketika Israel melancarkan serangan selama lapan hari
baru-baru ini, hospital itu menerima kira-kira 800 penduduk Gaza yang
cedera dan sebahagian besar kematian berlaku di situ.
Sebelum meminta diri untuk menyambung tugasnya yang sentiasa sibuk, Dr
Ahmad berkata: "Saya sayang Malaysia dan jangan lupa beritahu tentang
pembunuhan beramai-ramai ini ke seluruh dunia."
As-Shiffa, kompleks perubatan terbesar dan merupakan hospital pusat di
Gaza, terletak di daerah Rimal Utara, dan menjadi pusat media ketika
Operation Cast Lead 2008-2009 serta serangan Israel terhadap Gaza
baru-baru ini. - Bernama
No comments:
Post a Comment