(Oleh Aliff Fikri)
KUALA LUMPUR 24 Dis: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menempelak
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengheret aktivis mahasiswa,
Umar Mohd Azmi ke mahkamah walaupun beliau tidak melakukan sebarang
jenayah.
Pengerusinya, Safwan Anang berkata, inisiatif melampau DBKL ini
menunjukkan kepada rakyat kelemahan kredibiliti badan penguatkuasa
tersebut.
“Umar tidak melakukan apa-apa kesalahan dan kes ini tidak menjadi masalah jika DBKL tidak membawanya ke mahkamah.
“Tindakan ini nyata mengesahkan bahawa penguatkuasa awam seperti DBKL
yang sememangnya menyekat dan tidak mengendahkan hak kebebasan bersuara
rakyat.
“Hak rakyat untuk bersuara dan menyatakan kebenaran tidak sepatutnya disanggah,” kata Safwan ketika dihubungi.
Umar adalah salah seorang peserta protes ‘Occupy Dataran’ April lalu
yang dijatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 Jumaat lalu,
kerana didakwa kononnya menghalang pegawai awam menjalankan tugas.
Aktivis siswa berkhemah di dataran tersebut sebagai bantahan mereka
terhadap Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang didakwa
mereka tidak adil.
Dalam perbicaraan kes, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini
memutuskan memberi penangguhan terhadap hukuman penjara setahun ke atas
Umar.
Namun, Hakim, Amelia Tee J mengenakan beberapa syarat serta ikat jamin turut dinaikkan dari RM1,000 kepada RM5,000.
Umar turut diminta menghadiri prosiding rayuan berikutnya untuk mengelak dari melakukan kesalahan yang sama.
Umar diwakili peguam, Syahredzan Johan dan Puspawati Rosman.
Menurut Safwan, Umar dibebaskan pada 3 petang tadi dengan ikat jamin RM5,000 oleh bapanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/
No comments:
Post a Comment