1 Dis 2012
Saya
mengucapkan terima kasih kepada Dewan Negeri Selangor dan Speaker,
Datuk Teng Chang Khim kerana telah mengendalikan persidangan Dewan
penggal kelima dengan baik dan lancar.
Saya berpuas hati dengan perjalanan persidangkan Dewan kali ini yang
mana kita bukan sahaja membentangkan belanjawan berimbang untuk lima
tahun berturut-turut tetapi juga berjaya menyerahkan kertas putih
pelunasan hutang Talam dan dua laporan status berkenaan penstrukturan
semula industri perkhidmatan air serta pengundi yang meragukan menerusi
Projek Pendemokrasian.

Saya mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Dewan yang telah mengambil
bahagian dalam perbahasan. Saya terima cadangan, kritikan serta
hujah-hujah yang boleh memberi penambahbaikan untuk kerajaan Selangor.
Dalam penggulungan, saya ada menyentuh isu Talam yang mana rakyat
Selangor boleh melihat kaedah kutipan dibuat dengan tertib, mengikut
peraturan dan tidak merugikan kerajaan negeri serta rakyat.
Keputusan kerajaan Selangor mendapatkan semula hutang lapuk ini
menerusi Perjanjian Penyelesaian Menyeluruh (Global Settlement
Agreement) adalah keputusan yang bijak kerana penilaian adalah
berdasarkan kepada penilaian pendapatan masa hadapan.
Kita telah mengeluarkan dokumen-dokumen perjanjian penyelesaian
hutang ini dan orang ramai boleh menyemak dokumen ini tertakluk di bawah
Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI).
Dalam isu air, kita berpendirian bahawa Langat 2 dan Penstrukturan
Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Selangor hendaklah dibincangkan
bersekali supaya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mencapai
persefahaman di dalam memuktamadkan penstrukturan semula industri
perkhidmatan air di bawah Model Holistik.
Tanpa penstrukturan semula sebagaimana yang dicadangkan, perkhidmatan
air semasa yang tidak holistik akan terus menyumbang kepada pengurusan
bekalan air yang tidak cekap dan membebankan pengguna di Selangor, Kuala
Lumpur dan Putrajaya.
Kita juga mendapati Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS)
tidak lagi berupaya mengendalikan pengagihan air kerana menanggung
defisit kewangan dan berhutang dengan operator rawatan air melebihi
RM400 juta serta gagal membayar royalti air mentah kepada kerajaan
negeri sebanyak RM3 juta.
Kita berharap rakyat Selangor akan terus menyokong usaha
penstrukturan semula industi perkhidmatan air untuk memastikan bekalan
air lebih cekap pada harga munasabah. Ini adalah komitmen kerajaan
Selangor untuk menjaga dan memelihara kepentingan rakyat menerusi
pentadbiran yang cekap, berhemah telus dan bertanggungjawab.
Abdul Khalid Ibrahim
Menteri Besar Selangor
Short URL: http://www.keadilandaily.com
Abdul Khalid Ibrahim
Menteri Besar Selangor
No comments:
Post a Comment