KUALA
LUMPUR 4 Dis: Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua dan Pengarah
Jawatankuasa Disiplin, Datuk Dr Tan Kee Wong antara yang dipanggil polis
hari ini berikutan penyertaan mereka dalam Langkah Hijau, 25 November
lalu.
Turut dipanggil Setiausaha Tian, Rozan Azen Mat Rasip.
Mereka diminta memberi keterangan di Balai Polis Wangsa Maju jam 2 petang ini.
“Kelmarin (Ahad) terima panggilan polis minta hadir ke Balai Polis
Wangsa Maju untuk soal siasat penglibatan saya dalam Himpunan Hijau
Anti-Lynas,” kata Tian dalam twitternya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa dan Yang Dipertua PAS
Batu, Ishak Surin turut dipanggil polis berhubung penyertaan mereka
dalam himpunan tersebut.
Menurut Ishak, semasa disoal-siasat, polis bertanya 40 soalan tetapi beliau menggunakan haknya untuk tidak menjawab.
“Antara soalan ialah sama ada himpunan itu mempunyai surat kebenaran dan mengapa ia dijalankan.
“Selebihnya hanya soalan mengaibkan dan saya memilih untuk tidak jawab,” katanya kepada Keadilan Daily, Khamis lalu.
Langkah
Hijau yang bertujuan membantah operasi kilang Lynas di Gebeng, Kuantan,
menghimpunkan lebih 20,000 rakyat untuk berarak ke Dataran Merdeka.
Perarakan sejauh 42 kilometer itu bermula dari Markas PAS Taman Melewar di Gombak dan berakhir di Dataran Merdeka.
Sebahagian peserta berjalan kaki sejauh 300 kilometer dari Kuantan sejak 13 November lalu.
Turut berarak ialah Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail; Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh; Ahli Parlimen Lembah
Pantai, Nurul Izzah Anwar dan pimpinan lain.
(Berita menyusul)
Short URL: http://www.keadilandaily.com/
No comments:
Post a Comment