Thursday, December 27, 2012

Leuniey sendiri jemput bapa kandung jadi wali

Wartawan Sinar Harian 27 Disember 2012
Leuniey Norlaila (kanan) bersama Leuniey ketika ditemu bual media suatu ketika dahulu.
KOTA BHARU - Ibu Nur Eilunie Natasha atau Leuniey, Nor Laila Abu Bakar mengharapkan kemelut yang berkaitan jemputan kepada ayah kandung anak sulungnya itu dapat diselesaikan dengan baik.
Menurutnya, tidak ada apa yang perlu diperbesarkan kerana sebagai bapa dia berhak berada di samping anak perempuannya itu untuk mewalikan pernikahan yang akan diadakan Jumaat ini.
“Memang kita jemput, tetapi dia tidak mahu datang ke rumah kita, biasalah apabila berlaku perceraian. Pada saya tak ada apa, ia lebih kepada isu dalaman keluarga dan perkara ini boleh diselesaikan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Nor Laila, 40, berkata demikian sebagai menafikan laporan sebuah akhbar kelmarin yang mendakwa bapa kandung Leuniey, Jaafar Mohamad terguris kerana tidak diundang ke majlis perkahwinan itu.

Katanya, Leuniey sendiri menjemput bapa kandungnya itu untuk menghadiri majlis pernikahannya ketika ke rumah bekas suaminya bagi mendapatkan tandatangan wali.

Nor Laila berkata, isu itu tidak perlu ditimbulkan kerana Jaafar adalah wali kepada Leuniey dan dia perlu hadir pada majlis akad nikah tersebut.

Leuniey, 21, yang akan melangsungkan perkahwinan dengan penjaga gawang kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, 23, akan dinikahkan Imam Besar Masjid Pasir Pekan di kediaman Leuniey di Pasir Pekan, pada jam 10 pagi.

Jaafar sebelum ini melahirkan rasa terkilan selepas didakwa tidak dijemput menghadiri majlis pernikahan Leuniey yang merupakan anak sulungnya hasil perkahwinan dengan Nor Laila sebelum mereka bercerai 10 tahun lalu

Katanya, hanya Leuniey anak perempuannya dan sebagai seorang bapa besar harapannya untuk melihat sendiri ketika anak diijabkabulkan, namun dia tidak dijemput untuk menghadiri majlis pernikahan itu.

Nor Laila yang mengakui anaknya turut berkecil hati dengan apa yang berlaku mengharapkan segala-galanya berjalan lancar tanpa meninggalkan kesan negatif di hati masing- masing.

No comments:

Post a Comment