6 Disember 2012
Datuk Seri Mohamad Hasan
SEREMBAN – Ahli-ahli Umno di Negeri Sembilan yang tidak berminat lagi
untuk bersama parti itu disaran membuat keputusan awal untuk keluar
parti.
Amaran keras berkenaan disuarakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno
Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengalu-alukan golongan
terbabit berbuat demikian daripada berterusan menjadi ‘musang berbulu
ayam’ yang boleh melemahkan parti.
Beliau turut mendedahkan terdapat ahli Umno di peringkat cawangan yang
dikesan secara terangan berdiri di atas pentas pembangkang selain turut
berkempen untuk menjadi calon bagi parti pembangkang, sekalipun masih
ahli Umno.
“Kita telah dapat kesan beberapa ahli parti yang sudah belot dalam
diam. Pemimpin pembangkang disambut dan diraikan di peringkat cawangan
oleh pemimpin Umno sendiri.
“Kalau tidak mahu lagi jadi ahli Umno, declare awal-awal. Mereka
berhak memilih sama ada mahu menjadi ahli DAP, Pas atau PKR,” katanya
kepada pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat
Exco di Wisma Negeri, dekat sini semalam.
Mohamad berkata, semua pemimpin parti termasuk dari komponen Barisan
Nasional (BN) wajar mengambil iktibar atas kekalahan pilihan raya umum
pada 2008 yang disebabkan berlaku sabotaj dari dalaman.
Menurutnya, masalah dalaman yang tidak dapat diselesaikan selain tiada
kesatuan antara ahli parti mengundang pertelingkahan sehingga mendorong
unsur sabotaj sesetengah ahli.
“Jadi, setiap pemimpin perlu ambil peringatan. Apabila sudah dibuat
pencalonan oleh pemimpin parti, kita perlu akur dan jangan bertindak
yang bukan-bukan sehingga kalahkan parti,” katanya.
No comments:
Post a Comment