Musa Hassan
$entry.content.caption.value
SHAH ALAM - Pandangan yang dikeluarkan berkaitan campur tangan menteri dalam soal Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya untuk menasihati dan mengingatkan bahawa sekiranya ia tidak dibendung akan membawa "rosak", demikian reaksi bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini.

Sehubungan itu kata Musa, beliau tidak mahu niatnya disalahertikan oleh mana-mana pihak.
Bercakap kepada Sinar Harian Online, Musa berkata, campur tangan dalam urusan operasi polis oleh pihak atasan misalnya akan menyebabkan reputasi PDRM terjejas.
"Perkara ini saya nak dibetulkan, bukan saya sakit hati kepada sesiapa, nanti orang kata saya ini sebab sakit hati tidak sambung (kontrak), saya iri hati dengan orang...

"... saya sudah seronok pencen. Tapi saya tengok benda ini kalau tidak dibetulkan negara kita akan rosak.
"Saya bercakap ini bukan sebab saya nak hentam orang..., tidak... tetapi untuk betulkan keadaan. Keadaan sekarang makin teruk, makin teruk dan saya tidak mahu orang tidak percaya kepada polis," tegas beliau.

Musa diminta mengulas kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim semalam yang menyelar pihak yang mempertikai dan mengkritik tugas yang dilaksanakan sambil memberi contoh seperti dakwaan yang dikenakan ke atas Menteri Dalam Negeri.
Menurut Musa, memang tidak menjadi kesalahan untuk Menteri Dalam Negeri mencampuri urusan polis seperti dalam hal-hal kenaikan pangkat atau disiplin anggota polis, tetapi tidaklah sampai ke tahap campur tangan dalam hal-hal berkaitan operasi polis yang berada di bawah bidang kuasa Ketua Polis Negara.

"Macam Bersih, itu IGP sahaja lah bagi arahan. Tak perlu nak bagi arahan. Kalau salah tindakan IGP, biar IGP sahaja yang kena tindakan. Janganlah atas arahan turun lagi. Orang di bawah pun pening kepala nak buat kerja.
"Campur tangan dari segi pentadbiran itu memang tanggungjawab dia, tetapi jangan lah campur tangan dalam hal-hal buat kerja polis. Campur tangan dalam operasi polislah, macam-macamlah. Operasi tak boleh (campur tangan), pentadbiran tidak apa sebab dia (Menteri Dalam Negeri) Pengerusi Suruhanjaya Polis," jelas beliau.

Ekoran kelantangannya mengkritik institusi polis negara selepas bersara, timbul spekulasi bahawa bekas Ketua Polis Negara itu berminat menceburi bidang politik.
Namun Musa menegaskan, beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik, meskipun ada menerima tawaran, tetapi akan terus lantang untuk menyumbang memperbaiki sistem pentadbiran negara.

Ditanya mengapa baru sekarang beliau mahu menyuarakan perkara ini dan sama ada baru sekarang berlakunya campur tangan dalam pentadbiran polis di negara ini, Musa berkata:
"Dulu tak kerap berlaku begini. Dulu tak ada saya rasa. Masa Menteri Dalam Negeri yang lama-lama kita tak pernah (dengar) jadi begini. Tapi yang baru-baru ni lah."
"Kalau IGP itu tak berani, ia berlakulah (campur tangan), kalau IGP berani, maka tak berlakulah. Saya merasakan kebanyakan IGP tak pernah akan mengikut apa kehendak menteri suruh buat kalau tak betul mengikut undang-undang lah," ujarnya lagi.