sinarharian
19 Disember 2012
19 Disember 2012
KOTA BAHRU - Keadaan lumpuh dari pinggang hingga ke kaki sejak berumur
setahun tidak menghalang seorang pelajar mencatat kejayaan cemerlang
dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini.
Anis Adilah Amlaki, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Zainab I di sini memperoleh 7A dan 1E dalam keputusan peperiksaan yang
diumum hari ini.
Dia meraih A dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam,
Matematik, Sejarah, Geografi dan Sains, dan E untuk Kemahiran Hidup
(Perdagangan) berikutan gagal mengambil kerja khusus atas faktor
kesihatan.
Bapa dan ibunya, Amlaki Jusoh, 41, pembantu tadbir di Hospital Raja
Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini dan Che Jah Noh, 40, seorang suri
rumah begitu terharu serta bersyukur dengan kejayaan cemerlang anak
sulung mereka.
Ketika ditemui Bernama di rumahnya di Taman Restu, Kampung Telipot di
sini, Anis Adilah melahirkan penghargaan kepada ibu bapanya atas
kejayaan itu.
"Kesusahan ibu bapa yang terpaksa mendukung saya setiap hari ke sekolah
berbaloi, dan saya begitu berterima kasih atas pengorbanan mereka
selama ini," kata remaja itu yang tergolong sebagai Orang Kurang Upaya
(OKU).
Anak pertama daripada empat beradik itu menghidap penyakit lumpuh
berikutan demam panas dan terpaksa didukung ketika berulang-alik ke
sekolah sejak sekolah rendah.
"Di sekolah, saya menggunakan kerusi roda berjentera (bateri) yang
disediakan pihak HRPZII, dan di rumah, saya mengesot kerana kerusi roda
ditinggalkan di sekolah," katanya yang bercita-cita menjadi pensyarah.
Menceritakan resepi kejayaannya, Anis Adilah berkata dia mengulang kaji
pelajaran empat jam sehari di rumah selain mendapat tunjuk ajar guru
dan ibu bapa.
Sewaktu di sekolah rendah, dia mendapat 5A bagi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah.
Sementara itu, Ketua Penolong Kanan (Pentadbir) SMK Zainab I Wan Marina
Wan Omar berkata pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada
Kementerian Pelajaran mengenai status pelajar itu berhubung subjek
Kemahiran Hidup kerana Anis Adilah sepatutnya dikecualikan daripada
menduduki kerja khusus bagi pelajar OKU.
Katanya dengan keputusan 7A 1E Anis Adilah, sekolah itu hanya mencatat kelulusan keseluruhan 99.54 peratus dalam peperiksaan itu. - Bernama
Katanya dengan keputusan 7A 1E Anis Adilah, sekolah itu hanya mencatat kelulusan keseluruhan 99.54 peratus dalam peperiksaan itu. - Bernama
No comments:
Post a Comment