Saturday, December 22, 2012

Raja dapat mandat Tuanku

Wartawan Sinar Harian, FOTO: SAFWAN MANSOR
22 Disember 2012
Rajagobal
Rajagobal tetap mengemudi barisan jurulatih pasukan Harimau Malaya biarpun pasukan kendaliannya gagal dalam misi mempertahankan gelaran Piala AFF Suzuki.
SEKALIPUN gagal membawa pasukan bola sepak negara dalam misi mempertahankan gelaran Piala AFF Suzuki, Datuk K Rajagobal tetap kekal menghuni kerusi nombor satu jurulatih Harimau Malaya.
Malah, Rajagobal awal-awal sebelum kejohanan bermula melaungkan sasaran kali ini adalah mahu berada sebaris empat pasukan terbaik Asia Tenggara.

Ya, memang benar sasaran peribadi itu berjaya dilepasi beliau, namun majoriti peminat tempatan nyata kecewa persembahan pemain negara apabila kecundang menerusi agregat 3-1 di tangan Thailand, 13 Disember lalu.

Kini, timbul persoalan kewajaran Rajagobal masih mendapat kepercayaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tatkala ranking pasukan kebangsaan kian menjunam dalam kalangan negara serantau.

MANDAT PRESIDEN
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Haji Ahmad Shah berkata, sehingga kini Rajagobal masih lagi kekal sebagai jurulatih skuad Harimau Malaya.

Katanya, status Rajagobal akan dibincangkan pada laporan bedah siasat yang akan diadakan dalam masa yang terdekat.

“Kita akan menilai laporan penuh pada post-mortem tersebut sebelum membuat sebarang keputusan mengenai kedudukan Rajagobal sebagai ketua jurulatih.

“Laporan mengenai perlawanan Malaysia menentang Thailand sudah diterima dan segala keputusan yang diambil harus mengambil kira semua faktor dan pendapat semua pihak,” titah baginda.

MASIH JURULATIH
Sultan Haji Ahmad Shah menyifatkan Rajagobal masih lagi jurulatih pasukan kebangsaan negara dan segala pertukaran atau penstrukturan semula akan dikaji bersama pegawai atasan skuad bola sepak tersebut.

Baginda bertitah, sehingga kini tiada sebarang rancangan dilakukan bagi menggantikan jawatan itu kepada individu lain dan Rajagobal masih kekal dengan jawatannya.

Sultan Ahmad Shah mengulas perkara berkenaan setelah banyak pihak menggesa Rajagobal meletakkan jawatan selepas kekalahan skuad kebangsaan kepada Thailand dalam separuh akhir Piala AFF Suzuki minggu lalu, sekali gus gagal mempertahankan kejuaraan pada 2010.

BERI PELUANG KEDUA
Wakil Ultras Kedah, Enche Kudin Albeano tetap berfikiran terbuka dan ingin melihat Rajagobal yang pernah membimbing PKNS FC, Selangor dan Kelantan itu menebus kehampaan pada saingan Kelayakan Piala Asia 2015 bermula Februari tahun depan.

“Kita bagi peluang dahulu untuk beliau buktikan sesuatu. Mungkin sekurang-kurangnya dua perlawanan awal. Tetapi, jika masih di takuk lama, rasanya setakat itu sahajalah jodoh beliau dengan pasukan negara,” katanya.

Kudin juga mencadangkan nama Ong Kim Swee dan Tan Cheng Hoe sebagai pilihan alternatif jurulatih utama sekiranya Rajagobal dipecat selepas ini.

No comments:

Post a Comment