Monday, December 24, 2012

Saat nyawa ditarik keluar


Wartawan Sinar Harian
24 Disember 2012
Saat nyawa ditarik keluar Kubur menjadi rumah terakhir manusia di dunia sebelum menempuh alam akhirat yang kekal abadi.
Setiap yang hidup pasti akan mati. Cuma bila dan di mana malaikat Izrail akan mengambil nyawa kita masih menjadi rahsia yang tidak sesiapa pun ketahui kecuali ALLAH SWT. Namun, kita sering mendengar tentang sakaratulmaut dan husnul khatimah apabila kematian dibahaskan.


Apa yang dimaksudkan dengan kalimah tersebut?

Jawapan: Sebelum berangkat ke alam barzakh untuk menuju akhirat yang kekal abadi, kita akan mengalami situasi yang disebut sakaratulmaut. Secara harfiah, kalimah ini bermaksud ‘mabuk menghadapi maut’ yang sangat dahsyat. Saat kematian ini berkait rapat dengan proses perpisahan roh dari jasad kita yang membawa kepada kematian. Syeikh Abdul Latif Musytahary (1996), menjelaskan bahawa kematian adalah bercerainya roh dari tubuh seseorang insan.


ALLAH SWT menerangkan lagi betapa ngerinya sakaratulmaut bagi mereka yang bergelumang dengan maksiat dan kezaliman dalam firman-NYA: “...alangkah dahsyatnya jika engkau melihat waktu orang zalim berada dalam tekanan sakaratulmaut, sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan (memukul dan menyeksa orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): “Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri), pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap ALLAH dengan tidak benar dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keterangan-NYA.”  (Surah al-An’am : 93)


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya nyawa orang mukmin itu keluar sebagai keringat manakala nyawa orang kafir pula dicabut seperti nyawa keldai. Orang mukmin yang melakukan dosa, lalu dibalas dengan dahsyat sewaktu kematiannya untuk menghapuskan dosa daripadanya. Orang kafir yang melakukan kebaikan akan dimudahkan baginya pada saat menghadapi maut untuk membalasnya.” (Riwayat Abu Na’im)


Jika orang itu Muslim yang soleh, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya jenazah itu didatangi oleh malaikat. Sekiranya jenazah itu orang yang soleh, maka mereka berkata, “Silakan keluar, wahai nyawa yang baik dan harum yang berasal dari tubuh yang baik ini. Keluarlah dengan keceriaan dan kepujian, bergembiralah dengan khabar gembira, kenikmatan dan TUHAN yang tidak murka.”


Namun, berbeza pula bagi seseorang yang jahat. Sabda baginda yang bermaksud: “Apabila seseorang yang jahat ingin dicabut nyawanya, maka dikatakan: “Keluarlah wahai jiwa yang buruk berasal dari tubuh yang buruk pula. Keluarlah dengan kehinaan dan berilah peringatan dengan air yang mendidih serta nanah yang serupa dengannya.”


Sentiasa dikatakan sedemikian hingga keluar roh tersebut keluar. Dibukakan baginya pintu langit lalu dikatakan, “Siapakah ini?” Dikatakan inilah polan.” Lalu diucapkan, “Tidak diterima jiwa yang buruk berasal dari tubuh yang buruk. Kembalilah dengan kehinaan kerana pintu langit tidak akan dibuka bagi mu. Kemudian dihantar dari langit sampai ke dalam kubur.”  (Riwayat Ahmad)


Oleh itu, Rasul junjungan mulia ketika berhadapan sakaratulmaut masih sempat berdoa yang bermaksud: “Ya ALLAH, tolonglah Aku daripada sakaratulmaut ini.” (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

No comments:

Post a Comment