Mahkamah
Tinggi membenarkan Presiden Parti India Malaysia Senator Datuk S
Nallakaruppan dan dua lagi mengekalkan hampir semua penyataan dalam
pembelaan bagi kes saman fitnah RM100 juta oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim
terhadap mereka.
Nallakaruppan dan Utusan Melayu (Malaysia)
Bhd serta Ketua Pengarang Kumpulan akhbar itu Datuk Abdul Aziz Ishak
mengemukakan pembelaan justifikasi, perlindungan bersyarat serta komen
yang adil, dan mereka bergantung kepada sebahagian pendapat majoriti
dalam penghakiman Mahkamah Persekutuan bagi kes liwat Anwar pada 1998.
Dalam
penghakimannya, Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera hanya
membenarkan Anwar membatalkan pembelaan justifikasi yang dikemukakan
defendan.
Pada 26 Mac lepas, Anwar memfailkan saman terhadap
defendan berhubung perkataan Nallakaruppan, yang didakwa fitnah dan
mencemar nama baiknya, yang disiar di muka depan akhbar Utusan Malaysia
bertarikh 20 Mac.
Penyataan tuntutan Anwar mendakwa perkataan
berunsur fitnah yang terkandung dalam artikel itu adalah palsu, tidak
berasas dan disiar dengan niat jahat.
Selain gantirugi am sebanyak
RM100 juta, Anwar menuntut ganti rugi teruk, gantirugi teladan, kos dan
relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Mahkamah Tinggi menetapkan 18 Jan untuk pengurusan kes saman itu.
- Bernama
No comments:
Post a Comment