Monday, December 24, 2012

TERKINI ! Mahkamah Tinggi K.L bebaskan Umar

24 Disember 2012

 Mahkamah Bebaskan Umar Bersyarat!

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebentar tadi membebaskan seorang aktivis mahasiswa, Umar Muhammad Azmi setelah rayuannya untuk menangguhkan hukuman diterima.
Peguam Umar, Syahredzan Johan memohon mahkamah supaya hukuman penjara sebulan dan denda RM1000 kerana didakwa menghalang penjawat awam dari menjalankan tugas di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur ditangguh sementara keputusan rayuannya disebut semula.
Bagaimanapun Umar tidak hadir kerana masih ditahan di Penjara Kajang, Selangor sejak dijatuhkan hukuman pertengahan minggu lalu.
Umar dibenar diikat jamin RM5000 dengan seorang penjamin sementara menunggu keputusan kesnya didengar semula.

Syaratnya, dia tidak dibenarkan menyertai mana-mana perhimpunan atau demonstrasi tanpa permit dari pihak berkuasa.
Rakan-rakan Umar yang sudah berada di dataran tersebut sejak semalam berarak beramai-ramai ke mahkamah sejak jam 8 pagi tadi bagi memberi sokongan moral terhadap keputusan rayuannya yang dibacakan sebentar tadi.
Umar, seorang mahasiswa yang menuntut di Johor Bharu didakwa menghalang kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semasa anggota penguatkuasa itu cuba menyuraikan perkhemahan mereka menuntut supaya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan.
Turut berada di perkarangan mahkamah ialah beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang hadir memberikan sokongan termasuk pengerusi SAMM, Badrul Hisham Shaharin dan aktivis rakyat, Haris Ibrahim.

No comments:

Post a Comment