Oleh : Mohamed Hanipa Maidin
Dalam politik Malaysia angka sering menjadi perhatian ramai. Angka-angka
yang diterbitkan oleh media-media massa di Negara ini sama ada media
bercetak atau media di alam siber memberi banyak makna.
Bercakap tentang angka sudah tentu Sharizat dan keluarganya mendahului.
Kita percaya angka RM 250 juta yang diamanahkan untuk digunakan bagi
pembelian lembu tetapi disalahguna bagi membeli kondominium adalah angka
keramat bagi kejatuhan dinasti Umno/BN dalam pilihanraya akan datang.
Angka boleh memberi petunjuk bagaimana kaum keluarga ahli politik
Baraisan Nasional bergelumang dengan kemewahan hidup dengan wang rakyat.
Lihat sahaja pendedahan yang dibuat oleh pegawai bank yang mengesahkan
anak kepada Ketua Menteri Sarawak, membelanjakan wang sebanyak
RM782,520.88 dalam tempoh enam bulan semasa perbicaraan kes tuntutan
bekas menantu Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Shahnaz Majid iaitu kakak
kepada penyanyi Sheila Majid.
“Ya, saya mengesahkan semua maklumat dalam penyata akaun kad kredit
platinum American Express ini adalah milik Datuk Seri Mahmud Abu Bekir
Abdul Taib,” kata Musinah Manap, pengurus bahagian khidmat pelanggan
Maybank dalam perbicaraan tuntutan nafkah sebanyak RM 400 juta oleh
Shahnaz.
Dalam penyata bank itu, Mahmud Abu Bekir telah menggunakan kad American
Express sebanyak RM166,332.37 pada bulan Januari 2012 ; RM148,763.88
pada Februari; RM102,236.85 pada Mac; RM172,193.23 pada April;
RM39,454.70 pada Mei; dan RM153,539.85 pada Jun, menjadikan jumlah
keseluruhan ialah RM880,958.91.
Angka-angka berikut pula menunjukkan bagaimana wang rakyat atau pembayar
cukui dengan mudah disalahgunakan. Kementerian Pertahanan telah membeli
empat buah RIV ( Rapid Intervention Vehicles ) dengan harga RM 2.67juta
iaitu pada harga lebih kurang RM 690,000 sebuah. Kita mungkin akan
mudah sahaja tertipu bahawa harga yang dinyatakan tersebut mungkin suatu
harga yang munsabah sehinggalah Y.M Sultan Johor sendiri bersuara
mempertikaikan harga yang amat tinggi tersebut. Media melaporkan pada
8/9/2012 Sultan Johor yang juga memiliki kenderaan RIV tersebut berkata
baginda membeli sebuah RIV hanya pada harga RM 150 ribu sebuah.
Sultan Johor menyatakan “ tidak seorang pun yang sepatutnya mengambil
manfaat dengan pembelian RIV tersebut bagi mendapat keuntungan
peribadi”. Hanya setelah Sultan Johor bersuara barulah Zahid Hamidi
tersipu-sipu mengarahkan siasatan dijalankan !!
Hakikatnya angka pembelian alat-alatan oleh Kementerian Pertahanan
dengan harga yang jauh melambung tinggi bukanlah perkara baru. Pada
tahun 2008 rakyat telah didedahkan bagaimana Kementerian Pertahanan
telah membeli 12 buah Eurocopter Cougar EC725 pada harga RM2.3 bilion
atau RM193juta sebuah sedangkan Kerajaan Brazil telah membeli model yang
sama pada harga RM 82.8 juta sebuah . Lihat bagaimana wang rakyat
sebanyak RM 111juta disonglap di siang hari !!!
Angka juga menunjukkan hutang. Suatu yang ironi dalam keadaan Najib
berbangga kononnya beliau telah melakukan transformasi ekonomi Malaysia,
hutang negara semakin meningkat setiap tahun. Hutang Kerajaan
Persekutuan di bawah BN telah meningkat secara mendadak daripada RM242
bilion pada tahun 2004 kepada RM 363 bilion dalam tahun 2009 dan RM 456
bilion pada tahun 2011 dan bagi tahun 2012 hutang Negara dijangka akan
meningkat sehingga RM520 bilion. Jika diterjemah dalam bentuk peratus
hutang Negara telah meningkat sebanyak 107.4 peratus dalam masa 8 tahun.
Apa yang menakutkan rakyat adalah liabiliti kontinjen ( contigent
liability ) Kerajaan dijangka akan meningkat pada tahun 2013 hasil dari
perbelanjaan RM53 bilion bagi projek MRT dan projek-projek mega yang
lain .
Yang lebih menyenakkan perut rakyat adalah syarikat kroni Umno yang
dikuasai oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary juga mempunyai
penggabungan hutang yang melambung iaitu sebanyak RM34.3 bilion
sedangkan syarikat-syarikat yang beliau ada kepentingan tersebut hanya
dijangka mempunyai wang tunai sekadar RM 7.8 bilion setakat bulan Mei
tahun ini.
Yang lebih mengejutkan meskipun dibelenggu dengan hutang yang banyak,
syarikat-syarikat Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary masih terus menerus
diberi kontrak oleh Kerajaan BN. Baru-baru ini Jabatan Perdana Menteri
telah mengesahkan bahawa projek penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang akan
diberikan kepada syarikat milik beliau. Juga menjadi berita yang hangat
bahawa syarikat beliau dikatakan mendahului persaingan bagi mendapat
projek penswastaan Pelabuhan Kelang (Northport Holdings) dan KTM Berhad.
Adakah rakyat lupa bahawa pada tahun 1998 apabila berlakuknya krisis
ekonomi, syarikat kroni Umno, Renong Berhad yang mempunyai hutang
sebanyak RM 20 bilion iaiitu sebanyak 7 peratus dari keseluruhan hutang
sektor perbankan di Negara ini . Hutang yang melambung tinggi
menyaksikan beberapa bank jatuh bankrap. Ia bukan sahaja mendatangkan
kerugian kepada para pelabur dan keruntuhan pasaran saham , wang kita
semua sebanyak RM 10 bilion juga disalahguna oleh Kerajaan BN untuk
selamatkan kroni Umno ini. Tidak mustahil perkara yang sama akan
dilakukan ke atas Syed Mohktar yang semua tahu adalah kroni Umno.
Bercakap tentang angka pemimpin MCA pula nampaknya buta angka. Timbalan
Menteri Kewangan , Datuk Donald Lim dengan tanpa segan silu berbohong di
Parlimen apabila beliau menuduh tanpa bukti bahawa sejak Pakatan Rakyat
ambil alih Selangor pada tahun 2008 tiada satu rumah kos rendah pun
dibina oleh Kerajaan PR Selangor.
Apabila ditunjukkan dengan angka sebenar oleh YB Tony Pua, “Sibuta
angka” MCA ini masih tidak dihukum oleh Speaker Parlimen di bawah Aturan
36 ( 12 ) Standing Orders kerana berbohong di dalam Parlimen. Kerajaan
Selangor hakikatnya telah membina 23,637 unit rumah kos rendah
termasuklah memulihkan semula 9,176 unit rumah akibat projek yang
ditinggalkan.
No comments:
Post a Comment