Jikalah amanat itu..
Jikalah amanat itu berbunyi,
‘Barang siapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang kafir.’
lalu kesannya, wujud suasana keliru dan saling tuduh menuduh sehingga
kafir-mengkafir dalam masyarakat, maka adakah perlu amanat di atas
ditarik balik demi mengelak pecah-belah?
Jika jawabannya ya, bagaimana jika dienggani dengan hujah bahawa
amanat di atas adalah sama dengan maksud ayat al Quran dalam surah al
Ma’idah:44?
Adakah kita akan kata, oleh kerana ianya memecah-belahkan umat Islam, maka ia tetap mesti ditarik balik!
Sudah pasti itu bukan jawaban balasnya. Setiap muslim mesti takut
untuk mendesak ‘amanat’ yang membawa maksud ayat al Quran itu ditarik
balik. Ia ‘bagai’ mencabar maksud al Quran.
Justeru apakah penyelesaian agar tuduh-menuduh yang memecah belahkan tidak berlaku?
Ya, jawabannya hanya satu.
Beri peluang amanat atau ‘ayat’ itu dijelaskan, disyarahkan dan
ditafsirkan. Hasil kefahaman yang bersuluh daripada tafsiran itulah,
akan lenyaplah segala tuduh-menuduh yang mengelirukan, lalu terhasillah
satu kefahaman yang satu terhadap amanat di atas.
Yang berhukum dengan hukum Allah, maka selamatlah dia daripada amaran
‘amanat’ di atas secara benar. Yang tidak berhukum dengan hukum Allah,
maka dia tak selamat dan mesti berusaha mengelak daripada bahaya itu.
Maka semua akan selamat.
Penting diketahui, ayat atau amanat atau kata hikmat adalah kata-kata
pendek yang cantik dan jelas. Jika timbul kekeliruan, jangan dibuang
dan diperangi. Ia mesti dipohon penjelasan. Penjelasan daripada kata
amanat, ayat, nas atau hikmat, hakikatnya akan menambahkan rasa hebat
dan daya pukau yang dimilikinya. Kerana itu, pujangga hidup kekal
namanya terkenal sepanjang zaman.
Begitulah ‘amanat tuan guru’ yang menimbulkan kehangatan. Ia sebuah
amanat yang pendek yang dipetik daripada ceramah tuan guru yang panjang,
lalu ditulis dan disebarkan. Ada yang faham dengan mudah, ada pula yang
perlukan penjelasan.
Jangan pelik, seperti diterangkan di atas, bahawa setiap yang pendek,
perlukan penjelasan sebagaimana terbukti wujudnya ribuan kitab tafsir
dan syarah oleh para ulama kita sepanjang zaman di dalam menjelaskan
maksud daripada kependekan nas ayat al Quran, al hadis, athar dan
kata-kata hikmat pujangga Islam.
Maka memohon hak untuk menjelaskan maksud ‘amanat’ oleh tuan guru haji Abdul Hadi adalah benar dan hak di atas hak.
Oleh kerana fitnah dan kekeliruan terhadap amanat ini begitu melata,
lama dan sengaja dihidupkan, maka adalah logik, baik dan sempurna sekali
jika penjelasan itu didengar oleh semua. Semua rakyat Malaysia.
Apakah saluran media hari ini yang paling meluas dan lebih luas
berbanding tv milik kerajaan (jangan baca milik umno)? Tiada bukan?
Adakah ini syarat? Tidak! Ia hanya satu permintaan yang benar agar penjelasan dapat didengar dan difahami oleh semua.
Ah, jika anda berkeras mengatakan itu satu syarat yang menyusahkan
dan bukan-bukan yang bermaksud mahu lari daripada kekalahan dan
kesalahan, mari saya jelaskan dulu sebelum anda terus hanyut dalam
dakwaan itu.
Tuan guru telah pun menjelaskan. Beratus kali sudah. Dan kami anak
muridnya pun telah menjelaskan maksud tuan guru itu. Beribu kali sudah.
Bahkan penjelasan itu terus diadakan hari ini dan esok juga. Tetapi
masih ada yang tidak dengar atau enggan mendengar atau sengaja buat
dengar tak dengar, faham tak faham.
Jadi, apa penyelesaian? Tarik balik??
Itu tidak profesional bukan? Dunia hari ini semua menuntut sikap
profesional hatta dari seorang raja yang kebalnya tak lut oleh keris
telanjang..
Justeru jika permintaan untuk menjelaskan maksud amanat itu dalam tv adalah satu syarat sekali pun, maka apa ruginya syarat itu?
Adakah semua kalimah ‘syarat’ itu mengandungi konotasi jahat? Nak
masuk syurga pun bersyarat. Nak masuk PAS atau UMNO pun bersyarat.
Jahat?
Apa ruginya menjelaskan amanat sendiri di hadapan jutaan rakyat berbanding di hadapan ribuan hadirin?
Semua rakyat menunggu penjelasan terhadap amanat tersebut. Jika tak
mahu dengar, rasanya terlalu mudah untuk tutup tv atau tukar saja ke
saluran lain. Macam-macam ada dalam tv tu. Saya yakin, siaran langsung
penjelasan amanat tu langsung tidak mengganggu sesiapa pun.
Dan,,
Pada saya, dengan penuh yakin, bukan hanya orang PAS, orang awam atau
sesiapa pun, bahkan orang umno pun akan bahagia dengan penjelasan
amanat oleh pemilik amanat tersebut.
Kenapa?
No comments:
Post a Comment