Monday, January 21, 2013

Che Pah listen, listen’ berkongsi pentas dengan Bawani esok

January 21, 2013

Poster di laman anakmudamalaysia.com tentang forum Kebebasan Akademik dan Hak Asasi anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia di mana di katakan Sharifah Zohra akan hadir.
KUALA LUMPUR, 21 Jan — Masih belum ada kepastian Pengerusi Suara Wanita 1 Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin yang terkenal dengan video “Listen, listen, listen” akan mengahdiri dan berdebat dengan Bawani KS dalam sebuah forum anjuran sebuah NGO pro pembangkang. Percubaan The Malaysian Insider untuk menghubungi Sharifah Zohra untuk mendapatkan pemgesahan mengenai kehadirannya ke forum Kebebasan Akademik dan Hak Asasi anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menemui kegagalan.

Dalam kenyataan terbukanya semalam, Sharifah Zohra berkata, selain Bawani, beliau sudah memaafkan kenyataan pemimpin-pemimpin politik negara yang mengutuknya dengan pelbagai dakwaan, yang dibuat secara sengaja atau tidak sengaja.

“Saya amat kesal kenyataan-kenyataan yang mengkritik saya secara peribadi dibuat tanpa menyiasat dengan lebih lanjut.
“Bagi saya kenyataan-kenyataan seperti ini adalah amat tidak profesional, namun saya maafkan mereka,” katanya.
Menurut beliau, penyebaran klip video tersebut adalah percubaan pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan dengan memutarbelitkan fakta tanpa mengambil gambaran yang lebih besar.

Persepsi negatif ini juga menurutnya menyebabkan orang ramai tidak melihat video yang mempunyai empat bahagian itu dan hanya bahagian terakhir menjadi “fenomena”.
“Isu ini telah diputar belit bagi mendapatkan sokongan emosi, oleh itu saya tidak mahu lagi memanjangkan isu ini demi masa depan SW1M. Video sensasi yang bermotif politik ini telah menyebabkan saya dan keluarga tertekan, terutamanya anak kecil saya.
“Saya bimbang dengan keselamatan keluarga saya kerana saya telah menerima ancaman SMS tidak bertanggungjawab dari individu, kumpulan dan parti politik,” katanya.

Sharifah Zohra turut mempersoalkan mengapa sumpah pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) seperti di dalam klip video itu tidak menjadi sensasi seperti ‘listen, listen, listen’.
“Sumpah itu berbunyi: Kami anak anak bangsa peneraju negara, dengan ini berikrar, menentang budaya songsang perosak bangsa, menentang demonstrasi jalanan penghancur keamanan, menentang anasir luar yang menjadi barah perosak anak-anak bangsa, kami menyokong keamanan, keharmonian dan kesejahteraan sesama rakyat Malaysia berbilang bangsa tanpa campur tangan pihak ketiga,” katanya.

Tambah Sharifah Zohra lagi pihak-pihak tertentu menggunakan isu video ini untuk mengalihkan pendangan masyarakat dari isu-isu lebih besar yang seharusnya diberikan perhatian.
“Pada masa sama, fenomena video ini yang menyebabkan saya terkenal dalam satu hari sebenarnya bertujuan mengalihkan pandangan yang lebih penting terutamanya penyalahgunaan hak pelajar, kanak-kanak dan wanita dalam demonstrasi jalanan serta jenayah lain seperti dadah, masalah sosial, pembuangan bayi, HIV, AIDS dan rogol.

“Jangan lupa juga, isu-isu politik semasa seperti isu keagamaan, hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan krisis air di Selangor yang turut melibatkan kaum wanita dan kanak-kanak,” katanya.
Forum “Seiringkah mahasiswa dan politik?” diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah, pada 8 Disember lepas, akan tetapi hanya heboh selepas video tersebut dimasukkan di YouTube dua minggu lalu.
Klip selama 24 minit itu memaparkan seorang ahli panelnya Sharifah Zohra menegur Bawani, yang bangun bercakap di forum itu, membangkitkan kepada penganjur forum  kerana memberikan informasi yang tidak betul mengenai Pengerusi Bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Datuk Ambiga Sreenevasan dan Datuk A. Samad Said.

Bawani juga menegaskan negara mampu untuk menawarkan pendidikan percuma sehingga ke peringkat universiti dan bertanya mengapa Malaysia tidak boleh berbuat demikian, diikuti dengan tepukan penonton.
Ketika Bawani sedang bercakap, Sharifah Zohra turun dari pentas dan berdiri di depannya.
Bawani tidak mempedulikan tindakan Sharifah Zohra itu dan terus bercakap.

Sharifah Zohra kemudian berkata “listen” kira-kira 11 kali sebelum bertindak mengambil mikrofon, sambil menghulurkan tangannya bersalam dengan Bawani dan mengucapkan terima kasih kepadanya.
“Nombor satu, ini adalah program kami dan kami dibenarkan untuk bercakap. Nombor dua, apabila saya bercakap, (anda) dengar,” kata Sharifah Zohra kepada Bawani.
Tindakan Sharifah Zohra telah menerima banyak kritikan daripada rakyat Malaysia yang menonton klip video tersebut sehingga menyebabkan berlaku apa yang digelar fenomena “listen, listen, listen”.

No comments:

Post a Comment