Wednesday, January 2, 2013

LHDN: Henti ‘serang’ PKS, siasat kekayaan luar biasa

Harakahdaily, 02 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) harus menghentikan ‘serangan keganasanan cukai’ terhadap usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebaliknya menyiasat mereka yang telah membuat ‘sumbangan’ haram kepada BN atau memiliki kekayaan luar biasa dan gaya hidup mewah.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ini bagi membuktikan LHDN adil, tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang tanpa rasa takut atau memihak.

Begitupun, katanya DAP mengalu-alukan usaha LHDN untuk meningkatkan hasil cukai melalui keuntungan produktiviti dan memantapkan pematuhan cukai.

“Ini tidak sepatutnya mengakibatkan ‘serangan keganasan cukai’ terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk siasatan untuk kes cukai yang melebihi 6 tahun yang lampau,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Demi kepentingan undang-undang, katanya sebarang peningkatan dalam pengutipan cukai tidak seharusnya diperolehi daripada penindasan sektor tertentu sementara mereka yang mempunyai kabel politik dilepaskan.

LHDN telah berjaya meningkatkan pengutipan hasil cukai pendapatan korporat daripada RM36.3 bilion pada tahun 2010 kepada RM46.9 bilion pada tahun 2011, iaitu peningkatan 29% serta peningkatan hasil cukai pendapatan individu daripada RM17.8 bilion pada tahun 2010 kepada RM20.2 bilion pada tahun 2011, iaitu peningkatan 13.5%. Cukai pendapatan korporat dijangka meningkat 15.5% kepada RM54.1 bilion pada tahun 2012 manakala cukai pendapatan individu dijangka meningkat 11.1% kepada RM22.4 bilion dalam tempoh masa yang sama.

No comments:

Post a Comment