Monday, January 21, 2013

Mahasiswa wajar diberi peluang nyata pendapat

Wartawan Sinar Harian
21 Januari 2013
Wan Azizah
Wan Azizah (empat, kiri) bersama peserta Dialog Wanita Setempat semalam.
BUKIT MERTAJAM - Mahasiswa wajar diberi peluang untuk menyatakan pendapat mahupun pandangan melalui sesi dialog yang dijalankan di institusi pengajian tinggi (IPT).

Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, forum dan dialog merupakan platform interaksi antara mahasiswa dan ahli panel.

Menurutnya, berhujah itu boleh, tapi mestilah berdasarkan fakta dan kita mesti sedar bahawa ia merupakan program anjuran universiti.

“Apa yang berlaku di antara kedua-dua pihak menunjukkan budaya kurang sihat yang tidak sepatutnya terjadi.

“Perdebatan mestilah melalui fakta dan kita tidak boleh merendah-rendahkan peserta yang hadir hanya kerana mereka mahasiswa,” katanya ketika mengulas mengenai video 24 minit yang menunjukkan perbalahan antara anggota panel, Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin dan pelajar undang-undang Universiti Utara Malaysia, KS Bawani yang menjadi topik hangat perbincangan dalam forum internet.

Beliau turut merasmikan Dialog Wanita Setempat anjuran Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) di Yayasan Aman, Penanti semalam.

Wan Azizah berkata, program dengan kerjasama Koperasi Ibu Tunggal dan Wanita Seberang Perai Tengah Berhad itu diadakan di kawasan luar bandar untuk meningkatkan kehadiran wanita setempat.

No comments:

Post a Comment