Pakatan
Rakyat menghargai peranan dan sumbangan anggota keselamatan negara yang
pernah dan sedang berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Peranan ini hanya boleh dilaksanakan dengan berkesan sekiranya
kebebasan, kedudukan, kebajikan dan kemuliaan ATM dipertahankan
sepenuhnya.
Justeru, saya membantah tindakan Datuk Seri Najib Razak dan penipuan politik untuk perolehan ATM.
Soal
persenjataan negara yang melibatkan dasar pertahanan strategik dan
taktikal adalah kepakaran kepimpinan ATM yang amanahnya perlu dipikul
oleh mereka.
Skandal-skandal yang membabitkan pembelian persenjataan dan
kelengkapan yang mahal dan melibatkan rasuah sebenarnya mengkhianati
pengorbanan dan perkhidmatan anggota keselamatan.
Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak terlibat meluluskan satu
pembayaran komisen yang mahal kepada orang kanannya sendiri dalam
pembelian kapal selam Scorpene, tindakan beliau itu mengkhianati
kebajikan dan kedudukan pasukan keselamatan negara.
Pertamanya, apabila peruntukan yang sepatutnya dibelanjakan dengan
berhemah bagi keperluan dan kebajikan anggota tentera (baik
persenjataan, kelengkapan, perumahan dan pendidikan) dihabiskan sebagai
habuan rasuah, ini menyebabkan ATM tidak dapat berbelanja bagi
keperluan-keperluan yang lebih mendesak kerana kekurangan peruntukan.
Keduanya, cemuhan rakyat terhadap perlakuan rasuah yang bersabit
dengan pembelian persenjataan turut terpalit kepada ATM yang mencalarkan
imej ATM, walaupun skandal itu tidak ada kena mengena dengan anggota
keselamatan.
Sebab itu, saya bertegas bahawa Pakatan Rakyat tidak boleh bertolak
ansur mengenai rasuah dan amalan kronisme dalam pembelian persenjataan
negara.
Keputusan dan penilaian kewajaran pembelian persenjataan perlu
diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan ATM mengikut tata kelola
pentadbiran kerajaan persekutuan yang berteraskan ketelusan dan amanah
kepada rakyat. Saya yakin prinsip ini akan menjimatkan berbilion wang
rakyat yang kemudiannya boleh diperuntukkan untuk membela kebajikan dan
kemajuan anggota tentera.
Berbekalkan peruntukan yang meningkat apabila kita berjaya
membanteras amalan rasuah dan kronisme, saya telah meneliti dan
mencadangkan perkara-perkara berikut sebagai langkah membela kebajikan
anggota-anggota tentera:
1. Pengurusan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) perlu dirombak
semula dengan perwakilan dari kalangan anggota tentera yang lebih adil
dan bebas mewakili anggota terbanyak. Keuntungan dan perolehan LTAT
wajarlah diagihkan dengan leih adil kepada anggota terbanyak, termasuk
melalui peruntukan skim mikrokredit khas anggota tentera untuk
memastikan mereka mendapat perhatian selepas meninggalkan perkhidmatan;
2.
Kerajaan Pakatan Rakyat wajar meningkatkan jumlah caruman yang
disumbangkan oleh kerajaan di dalam LTAT kepada 20% daripada gaji setiap
bulan (berbanding 15% sekarang). Peningkatan 5% caruman ini perlu
diuruskan secara berasingan di dalam dana LTAT dan dikhususkan kepada
program-program imbuhan yang berbentuk bantuan bulanan kepada bekas
anggota tentera (yang berpencen dan tidak berpencen);
3. Kerajaan Pakatan Rakyat wajar memperkenalkan Dividen Khas kepada
bekas anggota tentera tidak berpencen bergantung kepada keuntungan LTAT
setiap tahun dan caruman tambahan 5% yang diberikan oleh Kerajaan
Persekutuan. Dividen Khas ini bagi membantu anggota keselamatan yang
tidak mempunyai pencen berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup yang
meruncing;
4. Kerajaan Pakatan Rakyat akan memastikan paras pencen adalah setara
dengan dasar gaji minima RM1,100 yang diangkat oleh Pakatan Rakyat akan
dilakukan, supaya tidak ada bekas anggota keselamatan yang tercicir
dari pelarasan pencen seperti yang sering berlaku sekarang.
Saya yakin pendekatan berganda membanteras rasuah dan menggunakan
peruntukan yang diselamatkan untuk membela kebajikan anggota tentera
akan berjaya mempertahankan kemuliaan ATM di mata rakyat.
Kemuliaan dan kedudukan anggota tentera di mata rakyat adalah sangat penting kerana mereka adalah benteng pertahanan negara. Di bawah Pakatan Rakyat, saya yakin ATM akan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.
Kemuliaan dan kedudukan anggota tentera di mata rakyat adalah sangat penting kerana mereka adalah benteng pertahanan negara. Di bawah Pakatan Rakyat, saya yakin ATM akan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.
Anwar Ibrahim
Ketua Umum KEADILAN
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?
Ketua Umum KEADILAN
No comments:
Post a Comment