February 04, 2013

KUALA
LUMPUR, 4 Feb ― Kumpulan aktivis alam sekitar Himpunan Hijau mengancam
untuk membakar loji nadir bumi kontroversi Lynas Corps jika kerajaan
baru yang dipilih gagal untuk menutupnya selepas Pilihan Raya 2013, kata
pengerusi Wong Tack hari ini.
Wong hari ini memberitahu The Malaysian Insider kumpulan
anti-Lynas akan membakar loji pemprosesan tersebut dengan rasa “marah
dan kecewa” jika kerajaan pemerintah Barisan Nasional (BN) masih kekal
berkuasa.
Beliau berkata amaran tersebut juga terpakai jika Pakatan Rakyat (PR)
berjaya memperoleh kuasa tetapi gagal untuk memenuhi janji mereka untuk
menutup loji Lynas tersebut.
“Jika Pakatan ditampuk kuasa dan masih enggan untuk menutup kilang,
mereka (rakyat) akan menjadi lebih kecewa dan marah ... Pegangan kami
adalah kami akan merancang satu lagi pemberontakan, menjatuhkan Pakatan
Rakyat dan membakar kilang,” katanya.
Beliau menyatakan Himpunan Hijau kini memberi sokongan kepada
pembangkang kerana janji mereka untuk menutup operasi Lynas dan
perlombongan emas Bukit Koman yang melibatkan penggunaan sianida.
Malahan, beliau memberi amaran kepada PR dengan berkata: “Kami
percaya bahawa kuasa politik yang diberikan oleh rakyat. Kami membawa
anda sehingga berkuasa, kami juga boleh menjatuhkan kuasa anda.
Wong (gambar) juga berkata bahawa tidak ada
alternatif lain jika permintaan kumpulan tersebut untuk menutup
perniagaan loji Lynas tidak dipenuhi selepas pilihan raya.
“Tiada pilihan lain. Mengapa saya beralih kepada keganasan? Saya
sudah beri peluang berunding secara aman,” kata beliau sambil menambah
kumpulan diketuainya konsisten menggunakan kaedah aman.
Apabila menegaskan bahawa ancaman membakar mungkin jenayah dan
menyalahi undang-undang, Wong mendakwa bahawa “individu memegang kuasa
yang melanggar undang-undang”.
“Pada ketika ini, orang yang berkuasa melanggar undang-undang dan
membenarkan kemusnahan di dalam negara ini. Siapa sebenarnya melanggar
undang-undang?” soal beliau.
Wong juga ditanya mengenai tindakan mahkamah atau mungkin berhadapan
dengan tindakan pihak berkuasa jika berhasrat meneruskan rancangan
tersebut.
“Kami bersedia untuk menghadapinya,” kata Wong sambil menambah dengan
berkata “kalau perlu ke penjara dan perlu mengorbankan kebebasan, maka
biarkan ia berlaku.”
Beliau seolah-olah tidak gentar dengan tindakan kerajaan yang mungkin mengambil langkah untuk mengharamkan Himpunan Hijau.
“Kami tidak pernah meminta kerajaan untuk merestui pergerakan kami”,
katanya lagi sambil menambah bahawa ia adalah satu terjemahan “kuasa
rakyat”.
Pada 25 November tahun lepas, kumpulan tersebut telah menganjurkan
perarakan besar-besaran di ibu kota dimana menyaksikan ribuan orang
ramai berkumpul di Dataran Merdeka bagi menyatakan bantahan kepada
langkah Putrajaya yang enggan mendengar keluhan dan bantahan mereka
terhadap loji radioaktif tersebut.
Selain itu, kumpulan ini juga mendapat sokongan empat NGO lain
seperti Jawatankuasa Membantah Sianida Raub, (Ban Cyanide Committee),
gabungan NGO Pengerang, dan NGO, anti-empangan Murum.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment