Harakahdaily
| Mohd Nor Yahya, | 04 Feb 2013 |
KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berusaha
sedaya mungkin menyelesaikan masalah bekalan air bersih di negeri ini
dengan memanfaatkan sepenuhnya pinjaman diluluskan kepada Kelantan.
Pengurus Besarnya, Ir Muhamad Hanapi Mahmood berkata, AKSB telah
menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin menangani masalah bekalan air
di negeri ini.
“Tidak dinafikan masih ada lompang yang perlu diselesaikan, namun
terdapat sesetengah pihak yang cuba menangguk di air keruh dalam isu
air.
“Mereka cuba menyebarkan fitnah terutamanya dalam isu pembekalan air
bersih. Banyak laporan media memberi gambaran tidak tepat,” katanya di
sini.
Misalnya kata beliau masalah bekalan air di Masjid Mahmudi Bachok seperti dilaporkan media sebelum ini adalah tidak berasas.
Menurutnya tekanan dari punca air AKSB di masjid tersebut tidak
menghadapi sebarang masalah dan orang ramai dapat mengambil wuduk
seperti biasa.
Bagaimanapun kata beliau masalah yang berlaku saiz paip tidak mengcukupi bagi menampung tekanan air dari tangki simpanan.
Begitu juga dengan masalah bekalan air di kawasan perumahan PPRT di
Gua Musang dan bekalan air di kawasan perumahan di Buloh Poh, Ketereh.
Hanapi berkata, perumahan PPRT yang mengandungi 1,000 unit di Gua
Musang masih belum siap dan tiada penghuni lagi, di mana dijangka siap
pada Jun hadapan.
“Jadi bagaimana isu air dimainkan media sedangkan kawasan tersebut
masih belum berpenghuni. Lagi pun bekalan air di bandar Gua Musang
mencukupi dan tekanan air begitu tinggi iaitu 30 juta liter padu
sehari,” katanya.
Manakala di kawasan perumahan Kampung Buloh Poh, Ketereh hanya
berlaku tekanan air agak rendah ketika waktu puncak, sedangkan di waktu
lain tiada masalah.
“AKSB mendapati puncanya kerana berlaku kebocoran paip air di laluan
utama dan ia telah diperbaiki. AKSB juga sedang dalam proses menukar
paip lama bagi penyaluran air bersih dari tangki Ketereh ke kampung
tersebut,” katanya.
Oleh itu kata beliau pihak-pihak yang sengaja memutar belitkan isu
air di negeri ini mungkin berdepan tindakan serupa seperti dihadapi
Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) kini berdepan kes saman RM1 juta,
gara-gara membuat dakwaan berunsur fitnah.
“Mungkin kerana dendam menyebabkan ada segelintir pihak cuba
menghasut rakyat dalam isu air. AKSB tidak akan berdiam diri dalam soal
penyebaran fitnah dalam media massa,” ujar beliau.
No comments:
Post a Comment