(Oleh Arif Juhani)
KUALA LUMPUR 6 Feb: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu jawab isu penyelewengan dan kepincangan dasar keselamatan negara di bawah Kementerian Pertahanan (Kementah).Bekas Timbalan Panglima Angkatan Tentera Darat Malaysia, Lt Jen (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid berkata, Zahid tidak perlu berang dengan pendedahannya berkenaan tahap keselamatan serta kemudahan di kem tentera.
“Orang
awam yang melalui kem tentera di seluruh negara boleh menilai keuzuran
kem berkenaan. Hakikatnya kem-kem tersebut dibiar tanpa pembaikan sejak
era penjajahan British,” katanya kepada Keadilan Daily.
Beliau berkata, sehingga kini, kelemahan itu masih wujud dan Zahid
patut bertindak, bukan mempersoal kelayakannya sebagai timbalan
panglima.
“Isu pokok yang saya dedah ialah penyelewengan dana ATM (Angkatan
Tentera Malaysia) hinggakan kem tentera Malaysia seperti kem negara
dunia ketiga. Tak wajar Menteri persoal demikian.
“Kerajaan kaya tetapi kelengkapan dan kem tentera sangat daif.
Sedangkan RM75 bilion (jumlah terkumpul) sudah dibelanjakan ikut
belanjawan. Ke mana perbelanjaan ini disalurkan, Zahid mesti jawab,”
tegas Ghafir.
Semalam, Zahid naik berang bila ditanya media mengenai dakwaan Ghafir itu dan memberi reaksi angkuh.
“Tahap (standard) dia apa? Tanya dia balik. Apa standard dia? Masa
itu dia jadi timbalan panglima, saya ketua dia. Dia yang buat standard
itu,” kata Zahid dipetik.
23 Januari lalu, Ghafir dalam sidang medianya bersama Ketua Umum
KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim membongkar kepincangan dasar
keselamatan negara di bawah Kementah.
Beliau mendakwa, Kementah kini menghadapi pelbagai bentuk penyelewengan dan kelemahan urus tadbir.
Katanya, Kementah tidak menaiktaraf kem-kem sementara sejak era penjajahan British.
Tentera juga katanya, tidak diberi kelengkapan secukupnya.
Dedah Ghafir, amalan kepimpinan Mindef membeli senjata melalui kaedah secara rundingan terus terdedah kepada rasuah.
Mengulas
sama, Presiden Majlis Rundingan Keselamatan (MRK) KEADILAN, Datuk Abdul
Hadi Abdul Khatab menggesa Zahid menilai pendedahan itu dan bukan
bersikap angkuh menolaknya.
Menurutnya, pendedahan Ghafir adalah realiti dihadapi ATM dan bukan perkara kecil.
“Zahid sepatutnya jangan angkuh dengan mempersoal kelayakan Ghafir
tetapi teliti pendedahan tersebut dan segera baiki kelemahan.
“Zahid juga tidak bertanggungjawab kerana menyalahkan Ghafir ekoran tahap ATM tidak memuaskan.
“Jelas, sikap ini menunjukkan dia jahil mengenai perkembangan ATM dan
sukar menerima hakikat,” ujar Penaung Pertubuhan Bekas Anggota
Keselamatan Malaysia (Pahlawan) itu.
Short URL: http://www.keadilandaily.com
No comments:
Post a Comment