Oleh Clara Chooi
February 06, 2013
KUALA LUMPUR, 6 Feb — Parti Progresif Sabah (SAPP) bertegas
kepada Pakatan Rakyat (PR) bahawa parti dari negeri Sabah mesti
bertanding di majoriti kerusi dalam dewan undangan negeri, dengan
mengatakan ini adalah untuk melindungi autonomi negeri tersebut mengkut
perjanjian Malaysia 1963.
Mengulangi pendiriannya, Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee, berkata
partinya sanggup untuk bekerjasama dengan PR dengan memberi kerusi
Parlimen, membenarkan pakatan pembangkang itu memenangi Putrajaya.
Akan tetapi pentadbiran negeri haruslah kekal di tangan parti yang
berakar umbi di Sabah, kata bekas ketua menteri itu, dan untuk mencapai
perkara ini, berdasarkan nisbah kerusi parlimen-negeri perlulah mengikut
formula partinya.
Terdapat 60 kerusi dewan undangan negeri dan 25 kerusi parlimen di
negeri Sabah, yang sering dikatakan sebagai deposit tetap Barisan
Nasional (BN) bersama jirannya Sarawak.
“Kita telah mengatakan PRU13 adalah tentang mengembalikan semula
autonomi Sabah (dan Sarawak) seperti yang dijanjikan dalam Perjanjian
Malaysia 1963 dan mengembalikan semangat penubuhan Malaysia.
“Deklarasi Kuching yang mengatakan Sabah, Sarawak mempunyai status yang sama dengan Malaya adalah relevan,” kata Yong (gambar) melalui emel yang dikirimkan kepada The Malaysian Insider.
Ahli politik lantang itu merujuk kepada deklarasi yang diumumkan dan
diadaptasi oleh DAP, PKR dan PAS semasa sambutan Hari Malaysia 16
September di Chonglin Park, di Kuching, Sarawak.
Antara kunci kepada tujuh deklarasi itu adalah untuk mengembalikan
semangat Perjanjian Malaysia serta kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai
rakan yang sama rata dalam Malaysia, “dengan mengembalikan autonomi
Sabah dan Sarawak dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan”.
“Jika konsisten dengan janji dan prinsip ini, parti peringkat negeri
harus bertanding secara majoriti di peringkat negeri, dan PR boleh
bertanding secara majoriti di kerusi Parlimen,” kata Yong lagi.
Terdapat banyak pembangkang di Sabah, dan menjelang pilihan raya umum
ke-13 ini , mereka berebut jumlah kerusi dari 60 kerusi dewan undangan
negeri yang dipertandingkan.
PR, pakatan pembangkang yang ditubuhkan di Semenanjung selepas
kekalahan teruk BN dalam Pilihan Raya 2008, melihat ini adalah peluang
untuk menjatuhkan gabungan pemerintah itu dari kubu mereka di Sabah.
Tetapi penduduk Sabah mula bersifat kenegerian apabila pembangkang di
negeri itu mula menggunakan slogan “Sabah untuk Sabah”, yang
menyebabkan rasa benci ke atas Malaya oleh penduduk tempatan.
Seperti SAPP, Parti Pembaharuan Negeri (STAR), yang diketuai Datuk Dr
Jeffrey Kitingan berkata pentadbiran negeri harus dikuasai parti Sabah.
Kedua-dua PR dan SAPP masih belum berbincang dengan Jeffrey yang mahu
meletakkan calon di majoriti kerusi atau semua 60 kerusi negeri.
Tetapi dengan SAPP yang masih mahu bertanding di sebahagian besar
kerusi, dan PR masih tidak mahu berganjak, ia dilihat bakal menjadi
pembangkang yang rapuh dalam menghadapi gergasi BN untuk merebut Sabah
pada pilihan raya akan datang.
The Malaysian Insider melaporkan semalam perbincangan kerusi
antara PR dan SAPP dihentikan buat sementara waktu, menurut rakan PR
Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing.
Yong tidak menolak bahawa partinya menunggu PR membuat keputusan bagi
menentukan formula kerusinya untuk tiga parti, Angkatan Perubahan Sabah
(APS) yang diketuai Bumburing dan Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah
(PPPS) yang diketuai Datuk Seri Lajim Ukin.
Kedua-dua Bumburing dan Lajim merupakan bekas orang kuat BN di Sabah
tetapi meninggalkan parti masing-masing UPKO dan Umno untuk menubuhkan
dua pergerakan politik pro-PR.
“Kita menunggu PR atau PKR untuk mereka menentukan formula rasmi dan
kita akan umumkan kerana kita tidak hanya bertanggungjawab dengan parti
tetapi dengan rakyat,” kata Yong lagi.
“Kita juga mahu tahu formula untuk Sarawak dan Malaya.”
Beliau enggan memberitahu jumlah kerusi yang SAPP mahu untuk
berunding dengan PR, dan berkata “ini bergantung dengan formula PR”.
Yong juga tidak mengesahkan atau menafikan tentang kemungkinan
partinya akan menentang calon PR dengan bekerjasama dengan STAR dalam
pilihan raya akan datang.
“Jawapan bergantung kepada formula PR. Terima kasih,” katanya lagi.
Jika SAPP bertanding menentang PR, ini adalah kali kedua sejak 2008 sejak kedua-dua pihak berlawan sesama sendiri.
Pada November 2010, Yong sendiri bertarung dalam pertarungan tiga
penjuru antara Ansari Abdullah dari PKR dan Datin Linda Yong Tsen Lin
dari BN dalam pilihan raya Batu Sapi.
Yong, walaupun dalam kempennya menyeru rakyat Sabah untuk menyokong
parti tempatan, mendapat tempat terakhir dalam pertandingan tersebut.
Pada ketika itu, bekas ketua menteri Sabah itu mengingatkan pengundi
mengenai isu autonomi di Sabah yang menjadi salah satu faktor dalam
perjanjian Malaysia pada 9 Julai 1963.
Beliau berulang kali merujuk kepada salah satu perkara dibuat oleh
Suruhanjaya Cobbold atau Suruhanjaya Inkuiri yang diketuai oleh Gabenor
Bank of England Lord Cobbold pada 1962.
Suruhanjaya itu ditubuhkan bagi mengenalpasti rakyat Sabah, pada
ketika itu itu dikenali sebagai Borneo Utara, dan Sarawak untuk
bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura bagi membentuk
Malaysia.
Suruhanjaya itu bertanggungjawab menulis Perlembagaan Malaysia menjelang pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.
Dalam laporan suruhanjaya tersebut, Lord Cobbold menerangkan
suruhanjaya tersebut menyokong pembentukan Malaysia dan beliau
“menyokong kuat” kerana ia adalah projek “yang boleh dijalankan” yang
terbaik untuk kepentingan wilayah Borneo dan juga Persekutuan Malaya.
Pada Pilihan Raya 2008, BN kehilangan majoriti tradisi dua pertiga
sebahagian besarnya kerana kalah semenanjung, dimana mereka hanya menang
85 kerusi dan pembangkang merampas 80 kerusi.
Penyelamat BN adalah Sabah, Sarawak dan Labuan dimana parti
pemerintah itu mengalahkan pembangkang dimana mereka memenangi 55 kerusi
parlimen manakala pembangkang hanya menang dua kerusi.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment