Sunday, February 10, 2013

Cuepacs mahu kajian semula elaun disegerakan

sinarharian
9 Februari 2013
 Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
SHAH ALAM – Pengumuman kerajaan untuk mengkaji semula elaun penjawat awam termasuk elaun sara hidup dilihat bertepatan dengan masa sekarang, kata Cuepacs.

Sehubungan itu, Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, beberapa perkara berkaitan penjawat awam perlu disemak termasuklah skim gaji baru, peluang kenaikan pangkat dan gelaran nama jawatan.

Katanya, “kesemua elaun itu sudah lama tidak dibuat semakan dan tidak begitu relevan diguna pakai sehingga kini terutama sekali skim gaji baru, skim kenaikan pangkat dan insentif-insentif lain perlu dibuat semakan secara menyeluruh dan segera."

"Lagipun sudah terlalu lama elaun penjawat awam tidak disemak," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penjawat awam bakal menerima berita gembira daripada kerajaan tidak lama lagi.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa turut mengumumkan  lebih 80 jenis elaun penjawat awam termasuk elaun sara hidup akan dikaji semula bagi melihat kesamarataan, kesaksamaan dan kemunasabahan.

Dalam masa sama, Omar turut menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh kerajaan kerana pengumuman yang dibuat itu memang dinantikan oleh semua penjawat awam yang telah lama mengharapkan perkara itu berlaku.

Menurutnya, semakan semula secara menyeluruh terhadap elaun perlu dibuat secepat mungkin bagi memastikan hak penjawat awam diterima secara sama rata.

Beliau juga berkata, elaun-elaun insentif ini perlu dibuat semakan secara komprenhensif.

"Sudah lama penjawat awam ini menunggu penambahbaikkan elaun-elaun mereka.

"Memang sudah sampai masa kerajaan membela hak penjawat awam ini, dan saya yakin kerajaan telah pun mengkajinya dan perlu disegerakan," katanya.

No comments:

Post a Comment