February 04, 2013

Pua berkata bantuan-bantuan seperti itu adalah jelas menunjukkan kegagalan Syabas menguruskan sumber air negeri. – Gambar fail
KLUALA LUMPUR, 4 Feb—Bantuan tambahan sebanyak RM120 juta kepada
Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) oleh kerajaan Pusat membuktikan
krisis air di Selangor adalah berpunca daripada kegagalan Syabas
menyelenggara infrastuktur mereka, kata Tony Pua hari ini.
Ketua Publisiti DAP Kebangsaan itu dalam satu kenyataan hari ini
menegaskan, masalah air yang berlarutan sejak berbulan lamanya di negeri
terkaya itu bukanlah berpunca daripada kekurangan bekalan air mentah,
sebaliknya ketidak upayaan Syabas menyelenggara kilang rawatan air
mereka, termasuk membaiki paip lama yang rosak.
“Ia membuktikan krisis itu berpunca daripada kegagalan Syabas
mengurus dan menyelenggara loji rawatan air mereka, membina takungan air
terawat tambahan, termasuk memperbaiki dan mengantikan paip lama dan
usang,” kata Tony Pua.
“Dengan RM120 juta bagi tujuan itu, ia menunjukkan krisis air itu
boleh dielakkan jika Syabas melabur dana sendiri bagi tujuan tersebut,”
kata ahli Parimen Petaling Jaya Utara itu lagi.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hujung minggu lalu mengumumkan
bantuan sejumlah RM120 juta kepada Syabas, walaupun syarikat
pengurursan bekalan air itu sebelum ini telah menerima peruntukan
sebanyak RM606 juta.
Pua turut menegaskan kedua-dua kerajaan negeri dan Pusat tidak
mempunyai tanggungjawab untuk memberikan bantuan kewangan kepada Syabas
bagi menaik taraf infrastruktur mereka seperti terkandung dalam
perjanjian konsesi air.
“Bantuan RM120 juta kepada Syabas bukanlah geran daripada kerajaan
Pusat untuk membantu rakyat di negeri ini, tetapi skim untuk ‘bail-out’
Syabas.”
Beliau menjelaskan, setakat ini kerajaan Pusat telah memberikan
pinjaman mudah tanpa faedah kepada Syabas sebanyak RM320.8 juta dan
tempoh dilanjutkan sehingga 20 tahun pada 2009, tambahan 20 tahun
daripada RM110 juta pinjaman pada Oktober 2011, dan kemudiannya
mengambil alih bond Syabas bernilai RM2.9 bilion.
“Sehingga ke hari ini, kementerian tenaga, teknologi hijau, dan air
Datuk Peter Chin belum memaklumkan sama ada Syabas telah membayar walau
satu sen pun daripada RM2.9 bilion bond itu. “Daripada jumlah itu,
kerajaan BN (Barisan Nasional) telah memberikan ‘bail-out’ kepada Syabas
sehingga mencecah RM3.41 bilion,” tegas Pua.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim semalam berkata
bantuan RM120 juta yang diumumkan Najib itu tidak akan menyelesaikan
krisis air yang melanda negeri di bawah Pakatan Rakyat (PR) itu.
Tambahnya, bantuan-bantuan seperti itu adalah jelas menunjukkan
kegagalan Syabas menguruskan sumber air negeri, yang mana pengambil
alihan syarikat pemegang konsesi itu oleh kerajaan negeri merupakan
langkah terbaik bagi menyelesaikan kemelut air di Selangor.
Khalid juga sebelum ini mengumumkan kerajaan negeri pimpinannya akan
membeli Syabas dan syarikat konsesi air yang lain di negeri itu bagi
meneruskan polisi air murah.
No comments:
Post a Comment