(Oleh Ruqayya Rahman)
PUTRAJAYA 13 FEB: Usahawan permaidani, Deepak Jaikishan berharap
permohonannya untuk mendapat perlindungan sebagai saksi dari Peguam
Negara (AG), diterima kerajaan baru selepas Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU
13), jika ditolak Tan Sri Abdul Gani Patail dalam sebulan.
Deepak menyerahkan permohonan tersebut hari ini di pejabat AG, di sini.
Beliau ditemani Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Peguam PAS, Asmuni Awi.
Permohonan itu untuk membolehkan Deepak mendedahkan segala maklumat
diketahui beliau berkaitan akuan bersumpah kedua oleh penyiasat
persendirian, P Balasubramaniam (PI Bala) berkaitan pembunuhan wanita
Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Menurut Deepak, segala dokumen dan bukti hanya akan diserah kepada
Peguam Negara selepas beliau diberikan sijil imuniti oleh kerajaan
Malaysia, merangkumi semua undang-undang negara.
“Kita bagi tempoh sebulan kepada Jabatan Peguam Negara untuk respon.
Jika tiada sebarang respon, saya harap waktu itu sudah berlaku
pertukaran kerajaan baru…Biar mereka pula yang bertindak,” kata Deepak
pada sidang media selepas penyerahan surat tersebut.
Surat itu hanya dapat diserahkan kepada pegawai Abdul Gani memandangkan beliau sedang bermesyuarat.
Berharap PRU 13 akan bertukar kerajaan baru, Deepak hari ini turut
menyerahkan salinan surat terbuka beliau kepada Tun Dr Mahathir Mohamad
meminta mantan Perdana Menteri itu mencadangkan supaya Najib meletakkan
jawatan dan menjalankan pilihan raya dalam masa 60 hari.
“Jika sistem perundangan negara tidak mampu berlaku adil, perubahan
kerajaan adalah jalan seterusnya,” kata Deepak yang dipercayai kerajaan
baru dimaksudkannya adalah Pakatan Rakyat.
Beliau juga sedia bekerjasama dengan mana-mana agensi penguatkuasaan
untuk memberi maklumat lanjut berikutan penglibatan Perdana Menteri
dalam kes itu.
Dalam surat tersebut, Deepak berkata, beliau langsung tidak terlibat
di dalam perbuatan kedua-dua SD yang bertarikh 1 Julai 2008 dan 3 Julai
2008.
Kata Deepak, penglibatannya hanya bermula selepas SD1 muncul apabila
beliau dihubungi Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri, bagi
membantu membersihkan nama Perdana Menteri apabila Datuk Seri Najib
Razak dilibatkan secara langsung dalam SD1.
Menurut Deepak lagi, beliau juga tidak kenal rapat dengan Bala.
Deepak sebelum ini mendakwa, beliau terlibat dalam pembikinan SD 2 selepas diminta oleh rakan rapatnya, Rosmah.
Beliau diminta oleh Rosmah yang dianggap sebagai ‘kakak’ itu berbuat demikian selepas PI Bala membuat sidang media
mendedahkan pengakuan bersumpahnya yang pertama.
Dalam akuan itu, Bala mendakwa Najib terlibat dalam kematian
Altantuya yang dibunuh secara kejam di hutan simpan dekat Puncak Alam
pada 2006.
Melalui SD 2 yang dibuatnya, Bala menarik balik segala pengakuan beliau dalam SD 1.
Deepak berkata, beliau membawa Bala menemui adik Najib, Nazim Razak di sebuah pusat membeli belah di Mutiara Damansara.
Dalam pertemuan itu, Deepak berkata, pelbagai janji dibuat oleh Nazim bagi pihak Najib kepada Bala.
Ekoran itu, Bala membuat SD 2 yang bercanggah sama sekali dengan SD 1.
Deepak memohon Peguam Negara memberi perlindungan kepadanya sebagai
saksi dalam kes ini berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Negara
yang memberikan kuasa kepada AG untuk membuat pendakwaan.
“Kita datang bagi sokongan moral kepada Deepak, bukan atas kapasiti
politik tapi sebagai rakyat yang sama-sama mahu lihat kebenaran,” kata
Mahfuz.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/

No comments:
Post a Comment