February 05, 2013
KUALA LUMPUR, 5 Feb
-- Jawatankuasa Pilihan Raya Muslim Eropah (European Muslim Election
Comittee) yang selesai dalam lawatan ke Malaysia hari ini mendedahkan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz
mengakui media arus perdana di dalam negara ini adalah “alat kerajaan”
dan menyatakan ia berbeza dengan media di luar negara.
Dua delegasi Drs Fadime Orgu yang merupakan bekas ahli parlimen
Belanda dan Zouhair Amri, wakil dari Perancis berada di Malaysia dalam
lawatan 3 hari di atas jemputan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar
Ibrahim dan telah bertemu dengan beberapa badan bukan kerajaan(NGO),
pemimpin politik dan juga melawat Parlimen untuk bertemu Nazri.
Menurut Fadime, semasa pertemuan dengan dengan NGO dan pemimpin
politik, beliau diberikan taklimat mengenai perjalanan media di Malaysia
semasa kempen pilihan raya dan mendapati beberapa perbezaan ketara
dengan negara mereka.
“Berbeza dengan negara lain, sistem media beroperasi di Malaysia adalah berbeza dan media di sini adalah alat kerajaan.
“Itu yang diberitahu kepada kami oleh beliau (Nazri),” kata Fadime
apabila disoal wartawan tentang perjumpaan dengan Nazri di Parlimen.
Walaubagaimanapun, Fadime berkata menteri tersebut menyatakan
kerajaan telah mengambil beberapa langkah penstrukturan untuk memberikan
masa kepada pembangkang di media arus perdana dalam kempen pilihan raya
kali ini.
“Tetapi beliau juga memberitahu kami bahawa pada pilihan raya nanti
pembangkang akan diberikan masa siaran di dalam media arus perdana,”
tambah Fadime menjelaskan langkah yang akan diambil kerajaan seperti
yang dinyatakan oleh Nazri kepada beliau.
Dalam pada itu, Fadime juga berkata Nazri memberitahu jika
pembangkang memegang kuasa mereka juga akan mengambil langkah sama
dengan mengawal media arus perdana.
“Pembangkang juga akan buat perkara sama, Nazri beritahu kepada
kami,” terang Fadime lagi yang merupakan ahli parlimen Belanda dari 1998
hingga 2006.
Dalam perkembangan lain, kedua-dua delegasi tersebut memuji
perkembangan demokrasi ketika ini di dalam negara sambil menyifatkan
beberapa pergerakan seperti kumpulan pejuang alam sekitar, kumpulan
reformasi pilihan raya Bersih dan kumpulan hak asasi manusia Suaram di
Malaysia adalah petanda yang positif.
Zouhair dalam pada itu melahirkan kejutan terhadap proses pilihan
raya di Malaysia di mana tempoh berkempennya dirasakan sangat singkat
berbanding di Eropah yang memberi tempoh agak panjang iaitu selama dua
bulan.
“Berbanding di Perancis, kami berkempen selama dua bulan. Di
Malaysia, kami diberitahu tempoh berkempen adalah hanya untuk tempoh 15
hari sahaja,” ujar beliau yang melahirkan kekecewaan kerana tidak dapat
berjumpa dengan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul
Aziz Mohd Yusof kerana percanggahan jadual.
No comments:
Post a Comment