(Oleh Aisha Geoffrey)
KUALA LUMPUR 15 FEB: Kenaikan kadar insurans bagi semua jenis
kenderaan mulai hari ini bukti kerajaan Umno pentingkan keuntungan
berlipat ganda berbanding kesulitan ditanggung rakyat, kata Timbalan
Ketua Penerangan KEADILAN, Sim Tze Tzin.
“Kerajaan
lebih tunduk kepada syarikat besar yang mahu mengaut untung lebih
besar. Ini semua memberi faedah kepada mereka. Ia memberi ruang kepada
bank dan syarikat insurans untuk naikkan tarif,” katanya ketika
dihubungi.
Maklumat berhubung kenaikan kadar insurans itu diperolehi melalui
surat edaran yang dihantar kepada pengendali dan agen-agen insuran
bertarikh 7 Februari lalu.
Bagi pemilik kenderaan, mereka akan mulai membayar dengan tarif harga
yang baru mulai hari ini apabila ia dikuatkuasakan sepenuhnya.
Perlindungan pihak ketiga motosikal 100cc dan ke bawah, cadangan
kenaikan adalah antara RM1 hingga RM3.50 setahun dan RM1 hingga RM2
untuk perlindungan komprehensif.
Untuk perlindungan pihak ketiga kereta persendirian 1,400cc, kenaikan
adalah antara RM6 hingga RM34 setahun untuk empat tahun dan RM7 hingga
RM19 untuk perlindungan komprehensif.
Surat pekeliling itu turut memberitahu kelulusan kenaikan premium itu diluluskan Bank Negara sebelum ini.
“Ini
hanya permulaan, bayangkan jika Barisan Nasional terus mentadbir,
banyak lagi kadar akan dinaikkan termasuk harga barang keperluan,
elektrik dan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST),” kata Sim
mengulas kenaikan itu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Jerejak itu, rakyat
Malaysia membelanjakan 40 peratus dari pendapatan secara purata hanya
untuk kenderaan iaitu bagi tujuan membeli kenderaan, minyak dan
penyelenggaraan.
“Perbelanjaan untuk kenderaan adalah yang kedua tertinggi selepas
perbelanjaan isi keluarga sebanyak 140 peratus dari pendapatan. Hutang
isi keluarga rakyat Malaysia juga merupakan yang tertinggi di Asia,”
jelas Sim.
“Tidakkah pemimpin kerajaan nampak bebanan yang terpaksa ditanggung
rakyat? Mereka ingat pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) cukup
untuk menampung keperluan ketika harga barang melambung?” tegas Sim.
“Syarikat besar dapat untung berjuta-juta, berbilion-bilion. Adakah
mereka tidak mampu untuk menampung harga kadar insurans yang lama sampai
perlu naikkan? Jelas, mereka dan kerajaan hanya mahu kaut keuntungan
lebih besar,” kata beliau.
Short URL: http://www.keadilandaily.com

No comments:
Post a Comment