February 17, 2013

Karpal
turut menegaskan hubungan antara DAP, PKR dan PAS masih baik walaupun
terdapat percanggahan pendapat di antara mereka. – Gambar fail
GEORGE TOWN, 17 Feb – DAP hari ini mengesahkan telah menghantar
laporan penyata tahunannya kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS)
pada 8 Feb lepas.
Pengerusinya Karpal Singh berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan
ROS sekiranya dipanggil untuk memberi penjelasan dan beliau menyifatkan
dakwaan yang mengatakan parti itu gagal mengemukakan laporan itu sebagai
‘kenyataan tidak bertanggungjawab’.
“Laporan itu telah disahkan penerimaannya oleh ROS. Sekiranya
dipanggil oleh ROS, DAP sedia memberi penjelasan,” katanya kepada
pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri
Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menggesa ROS memulakan siasatan
terhadap DAP yang didakwa tidak menyerahkan laporan kepada badan itu.
Justeru, beliau berkata dakwaan yang mengatakan DAP belum menghantar
laporan penyata tahunannya adalah tidak benar dan tidak berasas.
Dalam perkembangan lain, Karpal, yang juga Anggota Parlimen Bukit
Gelugor, meminta polemik isu kalimah Allah serta protes jalanan
bertujuan menyerang beliau secara peribadi dihentikan semua pihak kerana
perkara itu dianggap telah selesai.
Beliau berkata pakatan pembangkang tetap berpegang kepada keputusan
yang dibuat pada 8 Jan lepas bahawa penggunaan kalimah Allah boleh
digunakan oleh penganut Kristian dengan syarat ia tidak disalahgunakan.
“Ini pendirian pakatan pembangkang yang dibuat dalam mesyuarat yang
dihadiri (Presiden PAS) Datuk (Seri) Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP Lim
Kit Siang dan (Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat) Datuk Seri Anwar
Ibrahim.
“Keputusan majlis syura ulama PAS adalah satu bahagian kecil dan tidak mewakili majoriti,” katanya.
Mengulas mengenai laporan akhbar bahawa PAS akan keluar dari pakatan
sekiranya kerjasama antara mereka merugikan Islam dan Melayu, Karpal
berkata kenyataan itu terlalu umum dan boleh dipertikaikan kesahihannya.
“Saya tidak akan menjawab kepada persoalan yang spekulatif,” katanya.
Beliau turut menegaskan hubungan antara DAP, PKR dan PAS masih baik
walaupun terdapat percanggahan pendapat di antara mereka. – Bernama
No comments:
Post a Comment