February 10, 2013
KUALA
LUMPUR, 10 Feb — Kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad supaya kerajaan Barisan Nasional (BN) diberikan mandat dua
pertiga majoriti Parlimen bagi menarik kerakyatan rakyat Malaysia adalah
bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan, kata peguam.
Pakar-pakar perundangan yang dihubungi The Malaysian Insider turut mengingatkan Dr Mahathir bahawa kerakyatan adalah perkara pokok bagi hak asasi manusia buat rakyat negara ini.
Jelas mereka, hak itu tidak seharusnya ditarik demi menjaga Perlembagaan Persekutuan.
"Cadangan Dr Mahathir itu akan meruntuhkan semangat dan struktur Perlembagaan," kata Pakar Perlembagaan Syahredzan Johan kepada The Malaysian Insider.
Jelas Syahredzan, terdapat beberapa peruntukan dalam dokumen yang
membentuk "struktur utama" Perlembagaan yang tidak boleh dipinda, dan
jika dipinda, pindaan itu sendiri melanggar semangat Perlembagaan.
"Apa peruntukan itu, tidak dijelaskan. Namun secara amnya, peruntukan
itu memberikan hak kepada individu untuk kerakyatannya tidak ditarik,"
kata peguam itu, dan menambah kerakyatan itu adalah salah satu daripada
hak tersebut.
Walaupun ianya boleh dipinda, Syahredzan menegaskan struktur
Perlembagaan telah menetapkan untuk memastikan ianya tidak diganggu.
Meminda Perkara Tiga Perlembagaan berkenaan kerakyatan memerlukan dua
pertiga majoriti Parlimen dan persetujuan Majlis Raja-raja, tegas
Syahredzan.
"Jika ia dipinda, ia akan dicabar di mahkamah," tambahnya.
Sementara itu, N. Surendran bersetuju dengan Syahredzan, sekaligus
turut melabel cadangan tersebut sebagai "tidak masuk akal" yang akan
memberikan kesan bukan sahaja kepada mereka yang terlibat, tetapi juga
rakyat Malaysia.
"Kerakyatan adalah perkara utama dalam hak asasi manusia di Malaysia.
Cadangan Dr Mahathir akan memudahkan untuk menarik kerakyatan rakyat
Malaysia, kata Naib Presiden PKR itu lagi.
Peguam Mohamed Hanipa Maidin pula menambah telah ada peruntukan dalam Perlembagaan berhubung kerakyatan Malaysia.
"Untuk menarik kerakyatan bukan perkara mudah ... Saya tidak pasti
peruntukan mana yang dimaksudkannya (Dr Mahathir)," kata Hanipa.
Syahredzan bagaimanapun menjelaskan Peruntukan Artikel 24 hanya
merujuk kepada mereka yang memperoleh kerakyatan, dan Artikel 25, ianya
merujuk kepada rakyat yang "tidak setia" melalui naturalisasi.
Peguam itu berkata adalah hipoktitikal untuk menghalang rakyat
daripada mempersoalkan Perkara 153 berkenaan hak Melayu dan Bumiputera,
dan mencadangkan penarikan kerakyatan.
"Kamu tidak boleh memilih apa yang disukai kerana politik," tegasnya.
Semalam dalam program yang dianjurkan Human Development Club di
Bandar Tun Razak, seorang pengunjung bertanya kepada Dr Mahathir apa
tindakan yang boleh diambil terhadap peguam seperti Pengerusi Bersama
Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.
Dr Mahathir, berkata kerakyatan hanya boleh ditarik apabila
Perlembagaan dipinda. Menjelaskan perkara itu, majoriti dua pertiga
Parlimen diperlukan untuk meminda Perlembagaan.
"Jadi saya harap kemenangan akan diberikan kepada Barisan Nasional (BN)," tambahnya.
Perkara 24 Perlembagaan Persekutuan menyatakan kerajaan boleh menarik
kerakyatan mereka yang menerima kerakyatan negara lain, atau
mengamalkan hak eksklusif rakyat negara lain.
Perkara 25 pula menetapkan kerajaan hanya boleh melucutkan
kewarganegaraan sesiapa yang menjadi warganegara melalui pendaftaran
atau penaturalisasian jika berpuas hati bahawa orang itu telah
menunjukkan dirinya melalui perbuatan atau percakapan sebagai tidak taat
atau tidak setia kepada Persekutuan.
The Malaysian Insider.
No comments:
Post a Comment