(Aisha Geoffrey)
KUALA LUMPUR 14 Feb: Kerajaan Selangor hanya berbelanja RM4.9 juta
bagi membina Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Midlands
berbanding RM12 juta kos yang digunakan kerajaan Umno bagi pembinaan
sebuah sekolah di Shah Alam.
Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, berkata ia berikutan sejak
Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran Selangor, semua kontrak
pembinaan sekolah diberi secara tender terbuka supaya kos tidak
melambung.
“Kita lantik kontraktor melalui tender terbuka, jadi kos pun kurang.
Berbeza dengan Umno yang beri kontrak kepada kroni. Bazir wang tetapi
kualiti kerja tak memuaskan,” katanya kepada Keadilan Daily, hari ini.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad semalam mendedahkan kerajaan
Umno akan membina sekolah rendah dengan 12 bilik darjah di U-10 Shah
Alam dengan kos dianggar RM12 juta.
“Bermakna setiap bilik darjah itu kosnya adalah RM1 juta,” katanya dipetik TV Selangor.
Sekolah Midlands yang dirasmikan Menteri Besar, Tan Sri Khalid
Ibrahim pada 15 April 2012 dianggap terbaik dan termoden di negara ini
dengan dewan besar dan makmal canggih.
Malah, sekolah yang mampu menempatkan kira-kira 2,000 murid itu tidak
sesen pun menggunakan peruntukan kerajaan pusat. Sebelum ini, murid
terpaksa belajar dalam bilik darjah berdinding papan dan lantai simen
retak, selama 50 tahun.
Manikavasagam berkata, banyak sekolah di Selangor yang dibina ketika
pentadbiran Umno BN, menelan belanja yang tinggi tetapi tiada
berkualiti.
“Sekolah Tamil Methodist, misalnya, hadapi masalah tandas tersumbat
dan paip bocor hinggakan PIBG sekolah terpaksa cari dana untuk perbaiki
kerosakan,” katanya yang mendedahkan Perdana Menteri ada melawat
sekolah itu tahun lalu dan menjanjikan dana membaiki sekolah tetapi ia
tidak ditunaikan.
“Sebuah sekolah di Bukit Raja pun hadapi perkara sama. Baru empat
tahun dibina tetapi macam-macam rosak. Itulah hasil kerja Umno BN. Kos
melambung, kualiti teruk,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?
No comments:
Post a Comment