sinarharian
12 Februari 2013
12 Februari 2013
GEORGETOWN - Polis menahan seorang lelaki dipercayai menunjukkan
isyarat lucah kepada Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah dalam
kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Hatta Md Zin berkata, dalam
kejadian 12.30 tengah hari semalam, suspek yang berusia 29 tahun
dipercayai menunjukkan isyarat lucah ketika kenderaan yang dinaiki
Tuanku Hajah Haminah melalui lapangan terbang berkenaan.
"Ketika itu bapanya sedang menghantar suspek ke lapangan terbang.
Difahamkan berlaku sedikit perselisihan faham antara suspek dengan
bapanya. Mungkin suspek bengang dengan bapanya dan dia menunjukkan
isyarat lucah itu.
"Kebetulan pada masa itu, rombongan kenderaan Raja Permaisuri Agong
sedang melalui lapangan terbang dan pengawal pengiring baginda nampak
tindakan suspek...dia terus menahan suspek," katanya ketika dihubungi
hari ini.
Hatta berkata, suspek ditahan reman sehingga 14 Februari ini untuk
siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan
yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan.
Sementara itu, Pertubuhan Kerabat Pusaka Merong Wangsa Malaysia
cawangan Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat
Polis Daerah Barat Daya dekat sini berhubung perkara itu.
Pengerusinya, Azhar Abdul Majid berkata, tindakan menunjukkan isyarat
lucah kepada Raja Permaisuri Agong adalah satu tindakan yang biadap.
"Kami tidak berpuas hati dengan tindakan yang langsung tidak
menghormati baginda. Kami datang ke balai polis ini untuk meminta polis
menyiasat dan kemukakan perkara ini ke muka pengadilan," katanya.
Beliau meminta polis mengambil tindakan tegas terhadap suspek supaya perkara itu tidak berulang. - Bernama
No comments:
Post a Comment