Harakahdaily
| Aslani M, | 18 Feb 2013 |
KETEREH: Biar pun terdapat banyak institusi pondok
dan alim ulama, namun tahun 1980-an ketika Kelantan di bawah Barisan
Nasional (BN) gejala maksiat dibiarkan berleluasa.
Sedangkan sebelum itu (1959-1978) ketika PAS mentadbir negeri ini banyak unsur-unsur khurafat dan maksiat dihapuskan.
Namun selepas kerajaan BN mentadbir Kelantan bemula pada 1978 gejala
tersebut dibiarkan subur semula, malah kegiatan judi dibenarkan
beroperasi.
Pegawai Penerangan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Abdul Hamid
Derani berkata, ketika Tan Sri Muhamad Yaakob menerajui Kelantan,
terdapat ramai ulama dan pusat pengajian pondok.
“Ketika itu ada Tok Guru Abdul Aziz Abu Bakar di Pondok Pasir Tumbuh,
Tok Guru Mohamad Awang di Pondok Beta, Tok Guru Haji Abdul Rahman di
Pondok Sungai Durian.
“Malah ketika itu juga Kelantan mempunyai seorang mufti yang terkenal iaitu Datuk Haji Noor yang mengarang kitab Mestika Hadis.
“Tapi anehnya mengapa gejala maksiat, hiburan dan perjudian masih
berlaku di Kelantan. Ini kerana tiada kuasa politik yang boleh
menghalang gejala tersebut,” katanya pada ceramah isu semasa di Kampung
Kedai Piah, malam tadi.
Kehadiran Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menarik perhatian ramai
penduduk tempatan mengikuti ceramah tersebut. Hadir sama anggota
parlimen Ketereh, Abdul Aziz Kadir dan Adun Kadok, Azamin Mohd Nor.
Abdul Hamid yang pernah menjadi tenaga penceramah Umno sebelum ini
berkata, hanya selepas PAS berkuasa semula di Kelantan pada 1990,
barulah gejala maksiat, hiburan dan perjudian dihapuskan.
“Peliknya Ustaz Umno ketika berceramah mendakwa perkara itu hanya
berlaku secara kebetulan. Kalau kebetulan mengapa ketika di bawah BN
gejala maksiat dibiarkan berleluasa,” ujarnya.
Oleh itu beliau berkata, mereka yang mengundi BN tentunya ada saham
apabila kerajaan terus membiarkan gejala maksiat berleluasa biar pun
sudah lama memerintah.
Sementara itu Mohamad berkata, Umno dan media tajaan mereka terus
memainkan isu agama dan Melayu dengan harapan dapat menarik simpati
rakyat.
“Sekarang mereka mainkan emosi rakyat dengan sentimen agama dan
bangsa. Umno lupa orang muda sekarang perlu fakta dan bukannya emosi,”
katanya.
No comments:
Post a Comment