February 06, 2013
BUTTERWORTH, 6 Feb — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin berkata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang
Teng Chang Yeow boleh menjadi ketua menteri jika BN diberi mandat
mentadbir semula negeri ini.
Beliau berkata ini bukanlah satu pengumuman tetapi ia menggambarkan
BN mempunyai pemimpin yang lebih layak untuk menerajui negeri ini dengan
lebih baik.
“BN
mempunyai banyak perancangan untuk majukan Pulau Pinang termasuk
membina lebih banyak rumah mampu milik bagi mengatasi masalah perumahan
di negeri ini, juga pelbagai projek pembangunan lain,” katanya (gambar fail).
“Ketika ini banyak projek pembangunan yang dirancang di bawah agensi
atau jabatan kerajaan persekutuan berdepan dengan pelbagai halangan
untuk mendapatkan kelulusan daripada kerajaan negeri, oleh itu berilah
BN peluang untuk mentadbir kembali Pulau Pinang untuk kesejahteraan
rakyat.”
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran
gelombang biru dan himpunan rakyat 1Malaysia di padang Sekolah Menengah
Kebangsaan Taman Inderawasih, Perai, di sini malam tadi.
Turut sama pada perhimpunan yang dihadiri kira-kira 30,000 orang itu
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Naib
Presiden MCA yang juga Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan
Timbalan Presiden MIC yang juga Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S.
Subramaniam.
Teng, 48, adalah bekas anggota exco kerajaan negeri dan dilantik
memegang jawatan pengerusi BN negeri tahun lepas oleh Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menggantikan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri Tan Sri Koh Tsu Koon.
Muhyiddin menegaskan segala pencangan yang telah dilaksanakan
kerajaan persekutuan di bawah program transformasi mencapai kejayaan
yang membanggakan dan faedahnya dikongsi bersama dengan rakyat. —
Bernama
No comments:
Post a Comment