Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertindak jika terdapat campurtangan pihak asing semasa Pilihan Raya Umum ke-13
(PRU-13) yang dijangka diadakan dalam tempoh terdekat.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Salleh Mat Rasid berkata sehingga ini polis sedang memantau kemungkinan itu.

"Setakat ini tiada maklumat pihak asing campur tangan dalam hal berkenaan," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai keselamatan jalan raya di Ibu Pejabat Polis Daerah di Pasir Puteh hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim dan ketua polis daerah.
Beliau diminta mengulas kebimbangan sesetengah pihak tentang kemungkinan berlaku campurtangan asing dalam PRU-13 berasaskan keadaan politik semasa.

Mengenai kebimbangan kemungkinan pihak pembangkang melakukan kegiatan  'Arab Spring' jika tewas pada PRU13, beliau yakin ia tidak berlaku kerana tahap kesedaran rakyat terhadap kepentingan keselamatan negara semakin meningkat.

Katanya polis sudah siap sedia untuk menghadapi PRU-13 dan akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengikut undang-undang yang digariskan.
Beliau berkata polis juga memerlukan kerjasama orang ramai bagi membolehkan proses pilihan raya di negara ini berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
- Bernama