Tinjauan
oleh Merdeka Center mendapati 60 peratus pengundi percaya sebahagian
besar warga asing mendapat kad pengenalan biru untuk menunjukkan status
mereka sebagai warganegara. — Gambar failKUALA LUMPUR, 26
Feb — Sembilan daripada 10 pengundi tidak bersetuju dengan langkah
Putrajaya memberi kewarganegaraan kepada warga Indonesia dan Filipina
untuk tinggal dan mengundi di Sabah, berdasarkan tinjauan pengundi
berikutan pendedahan semasa Inkuiri Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai
kebanjiran warganegara asing sejak 20 tahun lalu di negeri tersebut.
Merdeka Center, yang melakukan tinjauan bebas ke atas 1,021 pengundi
di Semenanjung Malaysia pada akhir Januari berkata, 86 peratus
mengatakan mereka tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan yang digelar
“Projek IC” sehingga menyebabkan peningkatan mendadak populasi di negeri
Di Bawah Bayu itu.
Tinjauan tersebut menunjukkan 60 peratus pengundi percaya sebahagian
besar warga asing mendapat kad pengenalan biru untuk menunjukkan status
mereka sebagai warganegara.
Isu yang berbangkit mengenai pendatang haram tidak dikaji berdekad
lama menyebabkan kemarahan di kalangan rakyat Sabah khususnya kaum asli
seperti Kadazandusun dan Murut, yang merasakan negeri mereka dicabul
kedaulatannya dengan kebanjiran pendatang asing dari Filipina dan
Indonesia.
Lebih suku daripada populasi di Sabah ialah pendatang asing, sejumlah
889,000 dari 3.2 juta penduduk, iaitu 28 peratus berdasarkan bancian
2010.
Sabah mempunyai 926,638 pengundi menurut laporan akhbar berbahasa Inggeris The Star pada Jun.
Kehadiran pendatang asing dalam jumlah yang besar membimbangkan
penduduk Sabah, selain turut menyalahkan mereka berikutan peningkatan
jenayah dan kekurangan peluang pekerjaan.
Selain itu, baru-baru ini lebih 100 orang bersenjata dari Filipina
menceroboh Lahad Datu dan mendakwa Kesultanan Sulu memiliki Sabah sejak
2009 serta enggan meninggalkan kawasan berkenaan.
Melihat kepada masalah kebanjiran pendatang asing, Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razik bersetuju untuk mengadakan inkuiri suruhanjaya
diraja (RCI) bagi mencari jalan penyelesaian.
Tun Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri paling lama memerintah
Malaysia bermula 1981 hingga 2003, dituduh sebagai dalang dalam “Projek
IC”, dimana kewarganegaraan diberi untuk mendapatkan undi.
Namun bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Harris Salleh yang mentadbir
negeri itu dari 1976 hingga 1985 menafikan kewujudan “Projek IC”.
Dr Mahathir dalam sidang media bulan lalu berkata warga asing di
Sabah sememangnya layak mendapatkan kewarganegaraan, tetapi menegaskan
ia “masih mengikut undang-undang”.
Inkuiri yang diketuai oleh bekas ketua hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong akan disambung semula pada 5 Mac.
Tinjauan 23 Januari hingga 6 Februari yang dibiayai Merdeka Center
melihat kepada persepsi pengundi menjelang pilihan raya ke-13 tidak lama
lagi, dengan ralat sebanyak 3 peratus.
Badan peninjau itu berkata tinjauan itu dilakukan selepas 12 Januari,
iaitu Perhimpunan Kebangkitan Rakyat yang dianjurkan pemimpun Pakatan
Rakyat (PR) di ibu negara dan juga liputan media mengenai inkuiri
suruhanjaya diraja mengenai Projek IC di Sabah.
Ia juga bertanya pelbagai isu, termasuk mengenai peniaga permaidani
Deepak Jaikishan, kenyataan bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan
yang sering bertentangan dengan kerajaan dan isu kalimah Allah.
No comments:
Post a Comment