Sunday, February 24, 2013

'Saya tak minat jadi MB' macam turun pangkat

sinarharian
24 Februari 2013
'Saya tak minat jadi MB'
Nazri (dua, kanan) merasmikan Bas Ekspres Cameron Highland di Terminal Amanjaya, semalam.
IPOH – “Saya tidak minat menjadi Menteri Besar Perak. Kalau saya jadi Menteri Besar, saya turun pangkat." Itu reaksi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berhubung dakwaan tiga menteri Kabinet mengidam jawatan Menteri Besar Perak sekiranya Barisan Nasional (BN) mengekalkan kepimpinan negeri.

Menurutnya, dakwaan itu adalah tidak berasas kerana jawatan menteri lebih ‘senior’ dan jauh lebih tinggi berbanding jawatan menteri besar.

“Saya, Zahid Hamidi dan Ahmad Husni jauh lebih tinggi dari menteri besar. Jadi menteri besar turun pangkat, saya tidak pernah dengar orang idam nak turun pangkat.

“Kami hendak bertanding kerusi Parlimen dan kami harap perdana menteri terus melantik kami dalam jemaah menteri. Kami tidak minat jadi menteri besar,” katanya ketika merasmikan bas ekspres ke Cameron Highland di Terminal Amanjaya di sini, semalam.

Beliau antara tiga menteri yang dikaitkan dengan spekulasi tersebut selain Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Nazri berkata, mereka yang merupakan ‘senior’ dalam BN tetap memberi sokongan kepada Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk terus mengekalkan jawatan sedia ada.

“Kami terus beri sokongan kepada Zambry kerana beliau akan terus pegang jawatan Menteri Besar Perak selain kredibilitinya membawa banyak pembangunan dan kemajuan di negeri ini.

“Kerajaan negeri dan kerajaan pusat datang dari satu parti dan sudah tentu pembangunan berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, beliau percaya semua calon BN akan mengikut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mewajibkan semua calon BN menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya.

Menurutnya, pembangkang enggan menandatangani ikrar terbabit menunjukkan mereka menyembunyikan sesuatu perkara.

“Sampai masa saya sain bagi membuktikan saya tidak terlibat dalam apa-apa jenayah, rasuah mahupun hutang kepada kerajaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment