sinarharian
18 Februari 2013
18 Februari 2013
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
berkata, kerajaan negeri tidak terlalu mengharap peruntukan kerajaan
persekutuan kerana Selangor mempunyai dana mencukupi untuk mengurus
pentadbiran dan melaksana pelbagai programnya.
Justeru, katanya, hal seperti Kerajaan Negeri Kedah meminta kerajaan
persekutuan membayar pampasan RM100 juta jika mahu penebangan balak oleh
kerajaan negeri dihentikan, tidak akan berlaku di Selangor.
"Kerajaan negeri (Selangor) mempunyai kemampuan untuk menguruskan sumber yang ada dengan baik.
"Berdasarkan pengalaman saya dalam dunia korporat, kita perlukan banyak
sumber dan di sini terletaknya bagaimana kita mengurus dan merancang
untuk memastikan kita ada cukup sumber," katanya dalam sidang akhbar
selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan jabatan kerajaan negeri di Dewan
Jubli Perak, di sini hari ini.
Abdul Khalid berkata, ini dibuktikan apabila kerajaan negeri baru-baru
ini mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membina jambatan ketiga
Sungai Klang di bandar Klang yang bernilai RM300 juta tanpa menunggu
peruntukan daripada kerajaan persekutuan.
Ditanya sama ada pembinaan jambatan ketiga itu akan diteruskan
sekiranya pakatan pembangkang tewas dalam pilihan raya umum ke-13
(PRU13), Abdul Khalid berkata, pembinaan jambatan itu akan diteruskan
oleh mana-mana parti yang menerajui kerajaan negeri.
Beliau berkata pada 2008, kerajaan negeri ketika itu yang ditadbir oleh
Barisan Nasional (BN) telah melakukan pecah tanah projek itu tetapi
terhenti disebabkan kerajaan negeri ketika itu tiada peruntukan
kewangan.
Mengulas mengenai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun)
Selangor yang berkemungkinan dibuat lebih awal, Abdul Khalid berkata,
perkara itu akan diputuskan selepas selesai membuat perbincangan. -
Bernama
No comments:
Post a Comment