February 15, 2013
KUALA
LUMPUR, 15 Feb — Ahli badan bukan kerajaan (NGO) dan individu
professional di negara ini menggesa Bank Islam Malaysia Berhad supaya
menarik balik penggantungan tugas yang dikenakan terhadap ketua
penganalisis ekonomi institusi kewangan tersebut ekoran kenyataannya
dalam satu forum di Singapura bulan lalu.
Mereka juga turut menegaskan, tindakan Bank Islam itu seumpama
“menyekat kebebasan bersuara”, dan menghalang penyelidikan dan kajian
dilakukan oleh Azrul Azwar Ahmad Tajudin.
Pensyarah Sosiologi Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Noraini
Othman berkata, tindakan yang dikenakan ke atas Azrul adalah seperti
menyekat kebebasan akademik kerana ketika itu beliau membentangkan hasil
kajiannya dari sudut ekonomi.
“Tiada kebebasan akademik ... walaupun beliau bukan ahli akademik,
tugasnya seperti ahli akademik ... hasil kajiannya,” tegas Noraini yang
juga merupakan ahli NGO Sisters In Islam
Akhbar The Straits Times Singapura melaporkan, ketika
pembentangan kajiannya itu, Azrul menjangka senario yang akan berlaku
apabila Barisan Nasional (BN) hanya mampu memenangi 97 hingga 107 dari
222 kerusi parlimen, yang tidak cukup untuk sebuah kerajaan.
Tetapi keputusan tersebut juga bermakna Pakatan Rakyat (PR) hanya
merupakan sebuah kerajaan goyah, jauh dari majoriti yang sering diterima
oleh musuh politik mereka.
“Daripada apa yang dapat saya lihat, daripada pembacaan saya
berdasarkan pembentangannya yang diedarkan kepada kami, ia kertas
akademik,” tambah Noraini.
Sementara itu, pemimpin Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP,
Zairil Khir Johari berkata, ketika pembentangan itu dibuat, beliau turut
berada dalam forum berkenaan, dan menegaskan kajian Azrul itu hanyalah
berasaskan sikap profesional dan perkiraan ekonomi.
“Saya memang hadir di persidangan di Singapura semasa Azrul
bentangkan kertasnya. Saya rasa pendapat yang diluahkan adalah
profesional dan berdasarkan perkiraan ekonometrik. Ia bukan pendapat
peribadi yang tidak berasas. Maka macam mana Azrul boleh dikenakan
tindakan kerana memberi analisa professional?” soalnya melalui khidmat
pesanan ringkas kepada The Malaysian Insider.
“Saya tidak setuju dengan tindakan Bank Islam dan harap Azrul dapat
diberi peluang yang adil untuk menjelaskan isu tersebut, katanya, dan
menambah, “wujudnya kemungkinan berlakunya sekatan tertentu dalam
kebebasan bersuara.”
“Bagaimana negara kita nak maju kalau analisa profesional pun disekat dan tidak dibenarkan?” tegasnya lagi.
Sementara itu, aktivis Suaram Fadiah Nadwa Fikri menegaskan tindakan
yang dilaksanakan Bank Islam terhadap Azrul jelas mempunyai motif
politik.
“Jelas dalam kes ini ia bermotifkan politik ... selepas beliau
membuat pembentangan kajiannya dalam forun di Singapura, (yang) ia
dibuat berasaskan bukti, hasil kajian berdasarkan fakta dan analisis.
Beliau tidak seharusnya dihukum.
“Seseorang itu tidak seharusnya dihukum kerana menjalankan tugas
profesionalnya ... sebab itu kita perlukan kebebasan politik di negara
ini,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Beliau menambah, “dengan menghukumnya itu menunjukkan mereka
menghukum individu yang mempunyai kaitan dengan sesetengah kumpulan atau
parti dan menidakkan tugas professional mereka.”
Ketiga-tiga mereka ini adalah antara rakyat Malaysia melalui 59 NGO
dan 135 individu dari kalangan profesional, ahli politik, dan ahli
akademik yang bersama-sama dengan Azrul menuntut penggantungannya
ditarik balik.
Akhbar The Sun semalam telah mencetak iklan dengan nama-nama NGO
serta ahli professional di muka surat 11 mereka bagi menyatakan sokongan
secara terbuka terhadap Azrul.
Azrul yang dihubungi The Malaysian Insider mengesahkan penggantungan
tugasnya masih berjalan, namun beliau enggan mengulas lanjut apabila
ditanya mengenai sokongan yang diberikan kumpulan berkenaan.
Dalam pembentangannya, Azrul turut menjangkakan senario kemenangan
tipis untuk BN dan kemenangan lebih besar pada PR dengan mengambil kira
faktor seperti kaum dan demografik.
Beliau juga menjangkakan kemenangan tipis bagi PR, apabila pasaran saham akan jatuh kerana “kejutan” dan ketidakstabilan.
Azrul juga mengatakan akan berlakunya “sabotaj ekonomi” oleh peniaga dan pekerja awam yang bersama BN. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment