Thursday, February 7, 2013

Terima kasih PAS Gombak

Harakahdaily, 06 Feb 2013
 
 Penduduk terharu terima sumbangan PAS Gombak Setia
 GOMBAK: "Pucuk dicita ulam mendatang" begitulah diibaratkan buat penduduk di flat Pinggiran Batu Caves setelah menerima sumbangan barangan keperluan harian daripada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Gombak Setia.

Antara barangan keperluan yang disumbangkan termasuk beras dan beberapa barangan dapur yang sememangnya diperlukan setiap isi rumah.

Setiap hari sebanyak lima hingga tujuh keluarga akan dipilih oleh PKM Dun Gombak Setia untuk menerima sumbangan tersebut.

Salah seorang penduduk, Alang Mat Isyah, 58, antara penerima pertama hari ini.

Beliau yang mengalami sakit buah pinggang cukup terharu dengan keprihatinan penyelaras Dun Gombak Setia yang menghulurkan sumbangan sedikit sebanyak dapat meringankan bebanya.

“Alhamdulillah, dengan barangan keperluan yang diberikan ini dapat meringankan sedikit sebanyak beban kami sekeluarga," kata beliau ketika ditemui.

Begitu juga dengan seorang lagi penerima berbangsa India, Subramaniam, 76, yang sudah uzur berterima kasih kepada PAS Gombak Setia yang sudi menghulurkan bantuan kepada beliau sekeluarga.

“Kami sangat-sangat berterima kasih atas bantuan diberikan. Kami juga berasa terharu apabila penyelaras Dun Gombak Setia sendiri sudi menziarahi rumah kami. Bantuan ini sekurang-kurangnya meringankan beban perbelanjaan yang kami tanggung,” katanya yang juga tinggal di flat Pinggiran Batu Caves.

Turun menyantuni dan menziarahi masyarakat merupakan aktiviti harian yang akan dipenuhi sendiri oleh penyelaras Dun Gombak Setia Saleh Huddin Nasir dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Gombak yang diketuai Syarhan Humaizi Halim bagi melihat sendiri kesusahan dialami oleh penduduk sekitar.

Usaha ini, jelas Saleh Hudin bukan sahaja dapat menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan bahkan dapat merapatkan hubungan dengan rakyat.

"Kerjasama yang diberikan amat menggalakkan dan kita berasa bertanggungjawab untuk melawat dan membantu rakyat yang memerlukan," kata beliau kepada Harakahdaily.

Dalam pada itu, Syarhan Humaizi turut menangkis tomahan dari pihak-pihak tertentu usaha mereka itu sebagai gula-gula pilihanraya.

"Progam ziarah ini adalah program bulanan pemuda yang sudah bermula beberapa tahun yang lalu dan bukan hanya menanti hampir tarikh pilihanraya sahaja," ujar beliau yang juga PKM DUN Gombak Setia.

Turut serta dalam ziarah kebajikan hari ini beberapa wakil AJK dari PAS Gombak dan juga pemuda PAS Gombak.

Ziarah kebajikan pada minggu ini telah bermula semalam di Gombak Utara dan seterusnya bersambung di Kampung Sungai Chinchin pada hari Khamis ini.

Dun Gombak Setia adalah antara kawasan yang dimenangi PAS pada PRU 12 lalu.

No comments:

Post a Comment