KUALA LUMPUR, 22 Mac — Agbimuddin Kiram dianggap sebagai lagenda dan wira di
kalangan umat Islam Filipina kerana berjaya meloloskan diri dari
ditangkap oleh pasukan keselamatan Malaysia, kata kolumnis The Philippine Daily Inquirer.
Dalam kolum “As I see it”, wartawan veteran Neal H. Cruz mengatakan
menyukai “raja muda” Sulu dan dakwaan keganasan yang dihadapi warga
Filipina di Sabah sama seperti perjuangan kaum Indian dan Afrika di
Amerika, yang ditindas oleh pendatang imigran dari Eropah.
Cruz berkata jika Agbimuddin ditemui mati, ketua militan itu akan disanjung lebih hebat.
Beliau berkata Presiden Filipina Benigno Aquino III perlu
dipersalahkan, kerana sikapnya mengenai krisis Sabah “mengundang
kemarahan”.
“Beberapa tahun dari sekarang, cerita Kesultanan Sulu dan
wira-wiranya akan tersebar, tentang bagaimana mereka ditindas oleh
kerajaan Malaysia dan FIlipina dan cerita itu akan berterusan zaman
berzaman,” kata kolumnis itu dalam tulisannya.
“Sebuah buku akan ditulis tentang mereka, sebuah filem akan
difilemkan tentang mereka, sama seperti sejarah Indian dan Afrika di
Amerika pada masa lalu.”
Agbimuddin dan 235 pengikutnya dikepung dalam pertempuran ganas
dengan ribuan anggota keselamatan Malaysia yang mempunyai senjata berat,
jet pejuang, kereta kebal dan bom dalam 18 hari selepas Ops Daulat
dilancarkan pada 5 Mac lalu.
Agbimuddin, “raja muda” dan adik kepada Jamalul Kiram III yang
mengaku dirinya sebagai Sultan Sulu, mendarat di Sabah untuk merampas
semula negeri yang didakwa miliknya empat abad lalu, berjaya melarikan
diri walaupun dikepung hebat oleh pasukan keselamatan Malaysia.
Menurut laporan dari sumber risikan Malaysia semalam, pemimpin puak
bersenjata itu berjaya melarikan diri dari Sabah pada 11 Mac dan ke satu
pulau di selatan Filipina untuk melarikan diri dari ditangkap pihak
berkuasa Filipina.
Laporan menunjukkan 63 pengikut Agbimuddin dibunuh, dan yang lain
sama ada melarikan diri pulang ke Filipina atau menyembunyikan diri di
Lahad Datu.
Cruz berkata pertempuran harus ditamatkan, dan Putrajaya serta Manila
harus bertemu dengan Sultan Sulu untuk menamatkan krisis ini.
“Membunuh dan mempenjarakan pengikut Sultan tidak akan menyelesaikan
masalah tetapi memburukkan keadaan, jadi mereka perlu berbincang,”
katanya lagi.
Beliau berkata pentadbiran Aquino tidak mengendahkan keluarga Kiram
dari mula walaupun presiden itu berkata beliau sudi untuk berbincang
dengan keluarga tersebut.
Cruz mengingatkan mengenai surat yang dihantar oleh keluarga Kiram
kepada Aquino apabila beliau mula-mula memegang jawatan presiden pada
2010, dan meminta Aquino membantunya tentang tuntutan Sabah. “Tetapi
Malacanang mendakwa surat tersebut 'hilang',” katanya lagi.
“Hilang atau tak ambil peduli? Pegawai kerajaan tidak mahu bercakap
dengan beliau (Sultan), sebaliknya bercakap dengan adiknya, yang tidak
boleh membuat apa-apa keputusan.
“Jika tidak mahu ke rumahnya di Taguig, kenapa tak berikan mereka tambang teksi ke Malacanang supaya mereka boleh berbincang?”
Cruz menyambung dengan berkata walaupun presiden mengatakan keinginan
untuk “berbincang”, tetapi pihak berkuasa Filipina menahan pengikut
Kiram dan mendakwanya di mahkamah.
Cruz berkata penahanan 36 individu di bot ketika di pesisiran pantai
Filipina, dan mendakwa lapan warga Filipina kerana keganasan di Sabah.
“Warga Filipina, dibawah pemerintahan Presiden Aquino, kini tersepit
antara dua pihak,” katanya yang berkata jika mereka terus tinggal di
Sabah atau pulang, mereka akan ditahan dan dihukum.
“Jadi, apa yang mereka boleh buat? Ada yang akan terus tinggal di
situ dan mati dalam pertempuran, membunuh beberapa rakyat Malaysia, dan
bertemu bidadari di alam barzakh,” katanya lagi. TMI
No comments:
Post a Comment