24 Mac 2013
[Bernama] DUNGUN: Akibat terpengaruh dengan ajaran sesat yang dipelajari
menerusi internet, seorang anak sanggup memotong kemaluan bapanya
sebelum bertindak memotong kemaluannya sendiri di Felda Kerteh 6,
Ketengah Jaya, di sini awal hari Ahad.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, suspek yang bekerja
sebagai penyelia sebuah kilang di ibu negara turut bertindak memaksa
abang iparnya memotong kemaluan sendiri namun lelaki tersebut berjaya
melarikan diri.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan berkata suspek
yang menetap di Balakong, Selangor pada mulanya pulang untuk bercuti
bersama keluarganya di kampung sejak minggu lepas.
Namun selepas lima hari bercuti di kampung, suspek mengambil keputusan
menghubungi ahli keluarganya yang lain untuk berkumpul di rumah tersebut
bagi menyampaikan 'amanat' yang mustahak.
"Ketika sebahagian ahli keluarga berkumpul sejak petang semalam, suspek
mula berkongsi dan berceramah mengenai ajaran sesat yang dipelajarinya
dengan mengatakan dunia akan kiamat pada Jumaat.
Bagaimanapun suspek tidak memberikan tarikh sebenar hari kiamat seperti yang didakwa berlaku.
"Suspek kemudiannya secara tiba-tiba bertindak agresif dengan merotan
dan memukul bapanya bagi membuatkan warga emas itu menangis untuk
'mengeluarkan semangat Imam Nawawi' daripada badan bapanya, namun
gagal," kata Manoharan ketika ditemui di pejabatnya di sini.
Manoharan berkata setelah gagal membuatkan bapa menangis, suspek meminta
sebilah pisau dari abang iparnya sebelum meluru masuk ke bilik tidur
bapanya dan bertindak memotong kemaluan bapanya sebelum memotong
kemaluannya sendiri.
Akibat kejadian itu, suspek dan mangsa yang berusia 67 tahun terpaksa
dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini akibat
mengalami pendarahan yang banyak.
Beliau berkata suspek dan mangsa kini masih berada dalam keadaan
kritikal dan pihak hospital sedang berusaha untuk menyambung semula
kemaluan dua beranak itu yang terputus.
"Justeru, kita percaya suspek terpengaruh dengan ilmu sesat yang
dipelajari menerusi internet hasil siasatan yang dijalankan," katanya.
Kes disiasat di bawah seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.
Sementara itu, isteri suspek yang hanya mahu dikenali sebagai Suzi, 33,
berkata suaminya mula menunjukkan perubahan sejak dua bulan lalu.
Namun beliau tidak mengesyaki sesuatu yang pelik dan hanya menyangka suaminya ingin berubah dan mendekatkan diri kepada Tuhan.
"Suami telah balik ke kampung sejak lima hari lalu dan dia ada mengajak
saya pulang namun saya kata tidak dapat pulang bersamanya kerana anak
masih bersekolah.
"Saya tiba di kampung suami kira-kira pukul 5 pagi tadi dan terkejut
ketika sampai ahli keluarga menyuruh segera ke Hospital Dungun sebelum
mendapati suami dan ayah mertua saya cedera," katanya ketika ditemui di
hospital.
No comments:
Post a Comment