(Oleh Norutul Ilham)
SHAH ALAM 28 MAC: Empat balu wira negara yang terkorban dalam operasi
pencerobohan di Lahad Datu, Sabah menerima sumbangan RM20,000 seorang
daripada Kerajaan Selangor hari ini.
Mereka
yang dibawakan khas ke bangunan Pejabat Setiausaha Selangor (SUK) bagi
menerima bantuan itu bersyukur dan berterima kasih kepada Menteri Besar
Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Turut serta, balu kepada Asisten Supritendan (ASP) Zulkifli Mamat,
Noor Aziah Noor, 28, yang terlebih dahulu menerima bantuan sama pada 15
Mac lalu.
Marlinah Utan, 38, balu kepada Sarjan Salam Togiran yang meninggal
dunia pada 2 Mac lalu memanjat kesyukuran di atas keprihatin Kerajaan
Selangor dengan nasib beliau dan empat anaknya.
“Terima kasih kepada Kerajaan Selangor, khasnya Menteri Besar, kerana
sudi memberi bantuan kepada kami untuk meneruskan kehidupan seharian.
“Dengan bantuan ini, saya akan menggunakan untuk tampung persekolahan
anak-anak dan perbelanjaan seharian kami,” kata surirumah itu pada
majlis Penyampaian Sumbangan Kerajaan Negeri Selangor kepada Waris Wira
Negara (Ops Daulat Lahad Datu).
Sementara itu, Noor Aziah mengucapkan terima kasih dan berharap bantuan itu akan digunakan sebaik mungkin.
“Dengan duit ini saya akan teruskan kehidupan kami anak beranak. Saya
bersyukur kerana Menteri Besar prihatin dengan kami yang baru
kehilangan ketua keluarga,” kata Noor Aziah yang bertugas sebagai guru.
“Apa pun kehidupan mendatang mesti diteruskan dengan membesarkan
anak-anak dan saya sendiri akan mula mengajar selepas cuti sekolah,”
katanya yang turut membawa kedua-dua anaknya.
Seterusnya,
balu kepada mendiang ASP Michael Padel, Jabah Mingku, 34, yang tidak
mampu menahan sebak menitiskan air mata ketika berkongsi perasaannya
kehilangan suami tercinta.
“Perasaan sedih masih lagi kami rasai. Paling menyedihkan apabila
anak setiap malam minta untuk memeluk bapanya. Tuhan sahaja tahu
perasaan saya.
“Saya rasa terharu dengan bantuan dan sokongan moral diberikan
Menteri Besar. Kami bukan sahaja perlukan wang, tetapi sokongan,”
katanya.
Seorang lagi yang turut menerima bantuan tersebut melalui warisnya
adalah Siti Badorah Mahalil, balu kepada Sarjan Abdul Azis Sarikon.
Hadir
sama, Presiden dan Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail dan Tian Chua; Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah,
wakil angkatan tentera, Exco-exco Selangor dan keluarga wira negara.
Dalam pada itu, Khalid menegaskan Selangor menyatakan sokongan penuh kepada anggota keselamatan negara.
“Kita tetap teguh mendokong pasukan keselamatan sama ada polis atau
tentera. Kita berdoa moga mereka kekal selamat dan bersemangat
mempertahankan negara dan rakyat daripada ancaman penceroboh.
“Wang ini adalah dari tabung bantuan RM10 juta untuk dilaburkan
kepada pihak yang memerlukan bagi kepentingan terutamanya untuk
persekolahan anak-anak,” kata Menteri Besar.
Sebelum ini, Kerajaan Selangor turut memberi bantuan sama kepada balu Sarjan Sabaruddin Daud, Nurul Nisa Abu Bakar. – NS
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?
No comments:
Post a Comment