KUALA LUMPUR, 11 Mac — Bapa Saiful Bukhari hari ini secara
rasmi menyerahkan borang menyertai PKR, serta mempertahankan
kenyataannya “konspirasi politik jahat” melibatkan anaknya dalam kes
liwat kedua.
Dalam
satu sidang media hari ini, Azlan Mohd Lazim, 60, juga menyatakan
keputusan yang dibuatnya hari ini tidak didorong oleh mana-mana pihak
sebaliknya menegaskan sekali lagi anaknya terperangkap dalam rancangan
oleh seorang pegawai di Pejabat Perdana Menteri.
“Hari ini, secara rasminya saya menyerahkan borang untuk menyertai PKR,” kata Azlan (gambar) yang mengaku telah menyokong perjuangan Anwar sejak tahun 1998.
“Saya sebagai rakyat Malaysia, berhak membuat keputusan sendiri...
Ini masa yang tepat untuk saya sertai PKR bagi membuat perubahan.”
Azlan juga berharap anaknya Saiful supaya menghormati keputusan yang
dibuatnya hari ini dan menegaskan segala yang terjadi tidak akan
menjejaskan hubungan mereka sekeluarga.
“Saya ingin minta maaf kepada Saiful atas apa yang berlaku ini,” ujar beliau.
“Saya buat keputusan ini bukan bertujuan untuk menganiayai dan
mengkhianati anak kandung saya sendiri... Saya tetap bersama mereka
kerana mereka adalah anak saya.”
Apabila ditanya tentang pendiriannya seperti didedahkan media pada
Jumaat lalu, Azlan menegaskan sekali lagi ianya ialah “konspirasi
politik jahat” yang dirancang rapi.
“Ingin saya tegaskan, kes liwat kedua melibatkan anak saya adalah
konspirasi politik jahat yang dirancang oleh seorang pegawai di Pejabat
Perdana Menteri,” tambah beliau.
Apabila ditanya sama ada Azlan akan mengikut jejak yang diambil
bersama anaknya untuk mengangkat sumpah pada tahun 2011, beliau enggan
mengambil langkah tersebut buat kali kedua.
“Dalam sejarah Malaysia, ramai orang yang bersumpah. Saya tidak akan bersumpah,” tegas Azlan.
Azlan juga menafikan khabar angin yang mengatakan telah dibayar untuk
membuat pendedahan tersebut, serta enggan menjawab sebarang tuduhan
sedemikian.
“Dibayar? Saya tidak berhak untuk menahan tohmahan... Biarkan mereka kata,” tambah beliau lagi.
Jumaat lalu, The Malaysian Insider mendedahkan Azlan membuat
keputusan mengejut apabila mengakui kes liwat kedua yang melibatkan
anaknya dengan Anwar sebuah “konspirasi politik jahat” serta meminta
maaf kepada pemimpin utama Pakatan Rakyat (PR) itu.
Menurut Azlan, individu tertentu telah mengambil kesempatan dan
mempergunakan anaknya untuk kepentingan politik, sambil menambah
situasi genting ketika itu menyebabkan beliau tidak ada pilihan selain
memberikan sokongan kepada Saiful di mahkamah.
“Malahan, anak saya (Saiful Bukhari) sendiri tidak pernah
menceritakan tentang kejadian (liwat) dan pertuduhan tersebut kepada
saya... saya juga tidak pernah dipanggil menjadi saksi dalam kes
tersebut,” terang Azlan Jumaat lalu.
Sebaik pendedahan tersebut, Saiful juga telah mengadakan satu sidang
media mengejut pada sebelah petangnya dan menafikan kes liwat kedua
tersebut adalah konspirasi serta tiada penglibatan pegawai di Pejabat
Perdana Menteri.
Saiful juga tidak mempercayai bapanya melakukan pengakuan tersebut
secara sukarela sebaliknya menuduh Ahli Parlimen Sungai Petani (PKR)
Datuk Johari Abdul telah mempengaruhi bapanya untuk membuat kenyataan
sedemikian.
“Tidak, saya tidak rasa bapa saya membuat pengakuan secara sukarela.
“Dalam laporan media juga kata terdapat seorang ahli parti politik
yang membawa bapa saya berjumpa media... siapakah orang itu? Parti
apakah orang itu?” kata Saiful.
Kes liwat kedua Anwar bermula setelah laporan polis dibuat oleh
Saiful, bekas kakitangan beliau mendakwa telah diliwat oleh penasihat
PKR tersebut.
Saiful mendakwa dirinya telah diliwat oleh Anwar di unit kondominium
Desa Damansara di Bukit Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30
petang pada 26 Jun 2008.
Pada 7 Ogos 2008, Anwar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jalan Duta.
Walau bagaimanapun, pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
membuat ketetapan bahawa Anwar tidak bersalah atas kes liwat yang
dihadapi oleh beliau.
Namun, pada 20 Januari 2012 Pejabat Peguam Negara telah memfailkan
rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan
Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful.
Notis itu yang ditandatangani oleh Peguam Cara Negara Datuk Idrus
Harun telah difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala
Lumpur.
Pendakwaan memohon rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang
melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat Saiful akan
didengar Julai ini.
Anwar didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman hingga 20 tahun penjara dan sebat jika disabitkan kesalahan.
Anwar didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman hingga 20 tahun penjara dan sebat jika disabitkan kesalahan.
TMI
No comments:
Post a Comment