01 Mac, 2013
SANDAKAN - Kertas kajian mengenai perubahan gaji penjawat awam yang
sudah mencapai tangga gaji maksimum telah dikemukakan kepada kerajaan
untuk pertimbangan Jawatankuasa Kabinet Gaji, kata Ketua Setiausaha
Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa.
Beliau berkata kajian itu dilakukan oleh pihaknya bersama Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) berikutan perkara itu merupakan antara masalah
yang dihadapi dalam perkhidmatan awam di negara ini.
Katanya, penilaian telah dibuat terhadap kalangan penjawat awam yang
sudah mencapai had atau tangga gaji maksimum dengan kebanyakan mereka
ini mempunyai skor 80 hingga 85 ke atas dalam Laporan Penilaian Prestasi
Tahunan.
"Ia menunjukkan penjawat awam itu telah melaksanakan tugas dengan
cemerlang tetapi jika dilihat skim gaji, kita dapati ada yang terhenti
dan sampai ke tahap maksimum," katanya dalam Program Temubual Bersama
Radio Sandakan FM yang bersiaran semalam.
Ketua Setiausaha Negara berkata, masalah gaji sudah capai had maksimum
atau statik dalam kalangan penjawat awam perlu perubahan selari dengan
perkembangan semasa yang menyebabkan kenaikan kos hidup dan inflasi di
negara ini pada kadar satu setengah peratus yang turut dihadapi penjawat
awam.
Katanya, kertas cadangan itu turut meliputi cadangan kenaikan dua hingga
lima peratus untuk penjawat awam yang sudah capai had gaji maksimum.
Menurutnya, perkara itu sedang dibincangkan di peringkat Kabinet dan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dijangka membuat
pengumuman secepat yang boleh.
Beliau yakin kerajaan akan mengambil perhatian perkara itu selepas
meluluskan kenaikan pencen sebanyak dua peratus setiap tahun bermula
tahun ini kepada pesara kerajaan.
Ali berkata, pada Sesi Amanat Perdana Menteri kepada Perkhidmatan Awam
pada 11 Mac ini di Putrajaya, Perdana Menteri dijangka mengumumkan
berita gembira kepada 1.4 juta penjawat awam di negara ini.
"Kita tunggu sahaja perdana menteri membuat pengumuman tidak lama lagi dan kalau ada insentif kita sama-sama tunggu.
"Tahun ini amat penting kerana kita perlu lihat kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam," katanya.
Katanya, untuk faedah jangka panjang, pihaknya kini meneliti mengenai 86
jenis elaun penjawat awam disebabkan ada antara elaun itu sudah lama
belum dikaji semula seperti elaun perumahan.
"Kami sedang melihat dan mungkin ia akan mengambil masa lebih sikit
kerana kena perlu melihat balik semua elaun dan juga akan ada implikasi
kewangan yang lebih," katanya.
Pada akhir program itu, beliau meminta penjawat awam di seluruh negara
meneruskan perjuangan mereka untuk membaiki perkhidmatan diberikan
kepada rakyat dan hala tuju negara ke arah pencapaian negara maju
berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Beliau berkata, penjawat awam mesti bersikap kreatif dan inovatif secara
lebih proaktif dengan disertai sikap positif, peribadi yang mulia dan
berintegriti.
Katanya, tugas sebagai penjawat awam adalah untuk menyampaikan perkhidmatan cemerlang kepada rakyat. ~bernama

No comments:
Post a Comment