| Harakahdaily, | 16 Mac 2013 |
KUALA LUMPUR: Sesuatu yang amat memalukan buat
negeri kelahiran Perdana Menteri yang masih bergelumang dengan isu
gangguan bekalan air sehingga ke hari ini.
Setiausaha Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pahang,
Huzir Sulaiman berkata, kerajaan negeri mengambil sikap mendiamkan diri
walaupun Solidariti Hijau dan PAS negeri mengambil sikap terbuka untuk
bekerjasama demi kebaikan rakyat di Negeri Pahang merupakan satu sikap
yang amat mengecewakan.
Oleh kerana itu, ujarnya tidak ada pilihan lain buat Rakyat Pahang kecuali menolak Umno BN di dalam PRU13 ini.
“Negeri Pahang amat memerlukan mereka yang masih ada ‘telinga’ untuk mentadbir negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Berikut kenyataan beliau berhubung masalah tersebut.
Selepas
Pengerusi Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar (LPPAS) PAS
Negeri Pahang yang dipengerusikan oleh Andansura Rabu melahirkan
kekecewaan beliau terhadap kegagalan pengurusan air di negeri itu pada
bulan Ogos tahun lalu akibat kekerapan gangguan bekalan air setiap kali
tibanya Ramadhan dan Syawal, 80 NGO dari seluruh negara yang berpayung
di bawah Solidariti Hijau dan dipimpin oleh Zulkefly Mohamad Omar
bersama-sama kepimpinan PAS negeri menyerahkan pula memorandum kepada
Menteri Besar Pahang pada bulan Disember tahun lalu menuntut satu
reformasi segera dilakukan terhadap tahap kualiti perkhidmatan yang
mengecewakan dari Syarikat Pengurusan Air Pahang Berhad (P.A.I.P)
walaupun telah diswastakan beberapa tahun yang lalu.
Beberapa siri gangguan bekalan air di seluruh negeri Pahang sepanjang
2 tahun yang lalu telah pun disenaraikan di dalam memorandum yang
diserahkan itu termasuklah potensi gangguan bekalan air kepada penduduk
Kuantan dari operasi kilang Lynas yang dikatakan akan menggunakan 500
meter padu sejam bekalan air untuk operasi harian mereka.
Selepas penduduk Kuantan dihantui gangguan bekalan air sebelum ini
akibat kerosakan teknikal di Loji Air di Empangan Kobat, paip yang kerap
pecah di Felda Bukit Kuantan serta kerosakan sistem bekalan air ketika
sambutan perayaan, penulis dikejutkan dengan rungutan beberapa penduduk
dari Taman Bukit Pelindung dan Taman Alor Akar Kuantan semalam yang
mengeluh dengan kekerapan gangguan bekalan air yang sudah berlanjutan
selama beberapa minggu ini lebih-lebih lagi selepas Lynas memulakan
operasinya.
Lebih
100 penduduk mengambil keputusan untuk melahirkan kekecewaan mereka
secara terbuka kepada P.A.I.P petang semalam di Bukit Pelindung Kuantan,
menuntut P.A.I.P untuk mengambil tindakan segera memastikan bekalan air
yang stabil kepada kediaman mereka dalam tempoh 2 minggu dari sekarang
sebelum satu tindakan susulan diambil terhadap P.A.I.P.
Malah mereka juga menuntut penjelasan P.A.I.P sama ada gangguan
bekalan air yang sedang berlaku mempunyai kaitan secara langsung dengan
penggunaan bekalan air yang tinggi dari kilang Lynas sehingga bekalan
air dilihat seolah-olah dicatu oleh P.A.I.P untuk memastikan bekalan air
yang mencukupi disalurkan kepada kilang itu.
Penduduk juga tidak boleh dipersalahkan kerana mempunyai beberapa
andaian punca gangguan bekalan air kerana sehingga hari ini, sebahagian
dari mereka masih tidak dimaklumkan oleh pihak yang berkenaan. Ramai
yang tertanya-tanya, apakah puncanya? Dan sampai bilakah masalah
gangguan bekalan air ini akan dapat diselesaikan?
Penulis selaku Setiausaha Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar
(LPPAS) PAS negeri ingin mendesak maklum balas segera dari pihak
Kerajaan Negeri Pahang dan P.A.I.P terhadap memorandum yang diserahkan
pada bulan Disember tahun lalu kerana sehingga hari ini, tiada satu pun
maklum balas yang diterima oleh Solidariti Hijau dan PAS Negeri
seolah-olah ia dibakulsampahkan oleh mereka walaupun cadangan
penambahbaikan yang telah banyak disenaraikan dalam memorandum itu
adalah untuk kebaikan seluruh rakyat di negeri ini.
Mengambil sikap mendiamkan diri walaupun Solidariti Hijau dan PAS
negeri mengambil sikap terbuka untuk bekerjasama demi kebaikan rakyat di
Negeri Pahang merupakan satu sikap yang amat mengecewakan.
Oleh kerana itu, tidak ada pilihan lain buat Rakyat Pahang kecuali menolak Umno BN di dalam PRU13 ini.
Negeri Pahang amat memerlukan mereka yang masih ada ‘telinga’ untuk
mentadbir negeri ini. Sesuatu yang amat memalukan buat negeri kelahiran
Perdana Menteri yang masih bergelumang dengan isu gangguan bekalan air
sehingga ke hari ini.
No comments:
Post a Comment